SIBU: Kerajaan Sarawak akan menaik taraf Jalan Sungai Maaw sepanjang 2.4 kilometer yang sering ditenggelami air bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.45 juta di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tujuan tersebut.
“Peruntukan telah diluluskan dan kerja menaik taraf akan dilaksanakan segera. Jalan ini sering ditenggelami air, menyebabkan kesukaran kepada penduduk, terutama dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Do Nang hingga ke pangkalan feri Paradom,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan jalan berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, projek tersebut akan melibatkan kerja-kerja meninggikan jalan sehingga dua kaki bagi mengelakkan ia ditenggelami banjir dengan cepat.
“Jalan ini telah beberapa kali dinaik taraf sebelum ini, dan kita berharap dengan langkah ini, masalah banjir dapat dikurangkan,” ujarnya.
Tambah Wong, keadaan jalan yang sering ditenggelami air sehingga tiga kaki bukan sahaja menjejaskan penduduk dari Sungai Sadit, tetapi juga penduduk di sepanjang Jalan Chew Kung, Ensurai dan Lebaan.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa titian kayu sepanjang 100 meter yang menghubungkan Jalan Sungai Maaw ke SJKC Do Nang akan digantikan dengan titian konkrit bagi meningkatkan keselamatan pelajar sekolah.
“Titian kayu yang dibina sebelum ini telah uzur dan rosak. Lembaga Pengurusan Sekolah telah memohon agar ia digantikan dengan konkrit, dan kita akan melaksanakannya dengan sedikit ketinggian tambahan bagi mengelakkan masalah air bertakung,” jelasnya.
Turut hadir, Pengerusi PDP Bawang Assan Kapitan Wong Hua serta pembantu peribadi Soon Koh, Sean Wong.
Oleh Tarani Lanting