PETRA JAYA, 26 November: Kedudukan strategik Serembu yang berhampiran dengan bandar raya Kuching serta keluasan tanah yang belum dibangunkan berpotensi menjadikan kawasan itu sebagai antara hab pembekal makanan di Sarawak.
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N18 Serembu, Dato Miro Simuh berkata, pembangunan ekonomi penduduk setempat menjadi fokus seterusnya, khususnya menerusi sektor pertanian dan industri pemprosesan makanan.
Menurutnya, jarak perjalanan sekitar 30 hingga 40 minit dari Serembu ke Kuching memberikan kelebihan dalam memasarkan hasil pertanian dan produk makanan ke pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan watikah calon GPS di sini, hari ini.
Miro berkata, tumpuan terhadap pembangunan ekonomi itu susulan penyediaan kemudahan infrastruktur asas di Serembu yang menurutnya hampir menyeluruh, merangkumi jaringan jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.
Katanya, pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi aktiviti pertanian berskala besar akan diberikan perhatian dengan memperkenalkan model pembangunan yang menguntungkan kedua-dua pihak, iaitu pemilik tanah dan pelabur.
Selain menjana pendapatan, pembangunan tanah berkenaan juga berpotensi memudahkan proses pengukuran dan pengenalpastian sempadan tanah bagi tujuan pengeluaran surat hak milik.
Menurutnya, keadaan tanah yang diliputi hutan tebal dan belukar merupakan antara cabaran utama dalam melaksanakan kerja pengukuran tanah NCR.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemilik tanah NCR supaya memberikan kerjasama dalam usaha membangunkan tanah masing-masing bagi memanfaatkan potensi ekonominya.
Miro turut memaklumkan bahawa masih banyak projek pembangunan yang telah dirancang dan diluluskan di Serembu, dengan sebahagiannya dalam proses tender untuk dilaksanakan.
Mengulas pendekatannya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, beliau berkata, usaha mendekati masyarakat dilaksanakan secara berterusan sejak memenangi pilihan raya pada 2021 dan tidak hanya tertumpu kepada tempoh berkempen.
Untuk rekod, Miro yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mula menyandang kerusi DUN Serembu pada 2016 dan berjaya mempertahankannya pada PRN Sarawak 2021.
Oleh Norman B




