PETRA JAYA, 26 November: Semua calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan supaya menjaga disiplin sepanjang tempoh berkempen serta tidak membuat janji berlebihan kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, calon perlu berhati-hati dalam setiap percakapan dan kenyataan bagi mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan masalah sepanjang proses pilihan raya.
Beliau turut mengingatkan calon supaya membawa diri dengan baik sepanjang tempoh berkempen, sambil mengibaratkan mereka seperti pengantin yang perlu menjaga tingkah laku ketika menjadi perhatian orang ramai.
“Anda yang menjadi calon, jadilah seperti pengantin. Jangan terlalu banyak membuat janji. Biarkan orang lain bercakap, anda ibarat macam pengantin. Selepas pilihan raya, jika mahu bercakap, bercakaplah,” katanya ketika majlis Penyerahan Watikah kepada calon GPS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan calon supaya memastikan ejen pilihan raya masing-masing menjalankan tanggungjawab dengan baik serta memahami peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang proses pilihan raya.
Abang Johari turut memberi perhatian khusus kepada 11 calon baharu GPS dengan menyatakan keperluan mengadakan sesi penerangan khas bagi memastikan mereka memahami prosedur dan peraturan pilihan raya sebelum memulakan kempen.
Katanya, calon yang pernah bertanding sebelum ini sudah mempunyai pengalaman dan memahami proses pilihan raya, manakala calon baharu memerlukan pendedahan tambahan sebagai persediaan menghadapi PRN kali ini.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua calon yang menerima amanah parti untuk bertanding pada PRN kali ini.
Beliau berharap semua calon dapat bekerja keras bagi memastikan GPS mencapai kemenangan di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
“Saya ucap tahniah. Amanah yang diberi kepada kita, kerja kuat, kalau boleh, 82 semua kita menang,” katanya.
Pada PRN kali ini, GPS mempertaruhkan keseluruhan 82 kerusi DUN dengan menampilkan 11 muka baharu dalam barisan calonnya, selain mengekalkan gabungan calon berpengalaman dan pemimpin baharu.
Kesemua 82 calon GPS akan mengemukakan pencalonan masing-masing pada 28 November ini.
Oleh Afiq Sallehi




