PRN: See Chee How yakin pengalaman, kekuatan GPS jadi kelebihan

Facebook
WhatsApp
PETRA JAYA, 26 November: Pengalaman lebih 15 tahun dalam politik serta kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi sandaran See Chee How untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13. Beliau berkata, penyertaannya dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), komponen GPS, memberi peluang untuk beliau memperkukuh khidmat kepada masyarakat menerusi sokongan dan kekuatan gabungan itu. Menurutnya, kepercayaan pengundi perlu diperoleh berdasarkan kemampuan seseorang wakil rakyat untuk bekerja, berkhidmat dan menyampaikan hasil yang dapat dirasai masyarakat. “Pada pandangan saya, berdasarkan rekod perkhidmatan selama ini, saya yakin mampu memperoleh kepercayaan pengundi. “Lebih-lebih lagi sekarang saya bersama GPS. Saya yakin mereka akan melihat bahawa saya mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Penyerahan Watikah kepada Calon GPS bagi PRN Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Jalan Bako, di sini. Beliau berkata, keyakinannya turut didorong oleh rekod pencapaian Premier Sarawak dan kerajaan negeri dalam melaksanakan pelbagai pembangunan di seluruh Sarawak. Jelasnya, kekuatan GPS bukan hanya bergantung kepada calon yang diketengahkan, tetapi turut disokong oleh pasukan yang mempunyai pengalaman serta keupayaan untuk melaksanakan agenda pembangunan negeri. “Perkara ini bukan hanya mengenai seseorang calon, tetapi turut melibatkan kekuatan pasukan di belakangnya. Sebab itulah saya yakin kerana GPS mempunyai pasukan yang sangat kuat,” ujarnya. See Chee How mempunyai perjalanan politik yang panjang apabila mula dipilih sebagai ADUN Batu Lintang pada PRN 2011 menerusi tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebelum mempertahankan kerusi itu pada PRN 2016. Bagaimanapun, beliau dipecat daripada PKR pada April 2020 sebelum menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada bulan berikutnya. Beliau sekali lagi mempertahankan Batu Lintang pada PRN 2021 menerusi tiket PSB dengan majoriti tipis 93 undi sebelum meninggalkan parti itu pada Ogos 2022 untuk meneruskan khidmat sebagai ADUN Bebas. Selepas kira-kira empat tahun berkhidmat di luar parti, beliau menyertai SUPP pada November 2026 dan kini dipilih sebagai calon GPS bagi mempertahankan kerusi Batu Lintang. Oleh Adele Rissa

PETRA JAYA, 26 November: Pengalaman lebih 15 tahun dalam politik serta kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi sandaran See Chee How untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Beliau berkata, penyertaannya dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), komponen GPS, memberi peluang untuk beliau memperkukuh khidmat kepada masyarakat menerusi sokongan dan kekuatan gabungan itu.

Menurutnya, kepercayaan pengundi perlu diperoleh berdasarkan kemampuan seseorang wakil rakyat untuk bekerja, berkhidmat dan menyampaikan hasil yang dapat dirasai masyarakat.

“Pada pandangan saya, berdasarkan rekod perkhidmatan selama ini, saya yakin mampu memperoleh kepercayaan pengundi.

“Lebih-lebih lagi sekarang saya bersama GPS. Saya yakin mereka akan melihat bahawa saya mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Penyerahan Watikah kepada Calon GPS bagi PRN Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Jalan Bako, di sini.

Beliau berkata, keyakinannya turut didorong oleh rekod pencapaian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerajaan negeri dalam melaksanakan pelbagai pembangunan di seluruh Sarawak.

Jelasnya, kekuatan GPS bukan hanya bergantung kepada calon yang diketengahkan, tetapi turut disokong oleh pasukan yang mempunyai pengalaman serta keupayaan untuk melaksanakan agenda pembangunan negeri.

“Perkara ini bukan hanya mengenai seseorang calon, tetapi turut melibatkan kekuatan pasukan di belakangnya. Sebab itulah saya yakin kerana GPS mempunyai pasukan yang sangat kuat,” ujarnya.

See Chee How mempunyai perjalanan politik yang panjang apabila mula dipilih sebagai ADUN Batu Lintang pada PRN 2011 menerusi tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebelum mempertahankan kerusi itu pada PRN 2016.

Bagaimanapun, beliau dipecat daripada PKR pada April 2020 sebelum menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada bulan berikutnya.

Beliau sekali lagi mempertahankan Batu Lintang pada PRN 2021 menerusi tiket PSB dengan majoriti tipis 93 undi sebelum meninggalkan parti itu pada Ogos 2022 untuk meneruskan khidmat sebagai ADUN Bebas.

Selepas kira-kira empat tahun berkhidmat di luar parti, beliau menyertai SUPP pada November 2026 dan kini dipilih sebagai calon GPS bagi mempertahankan kerusi Batu Lintang.

Oleh Adele Rissa