KUCHING, 26 November: Bekas Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Lina Soo, 55, mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak, Soo yang kini merupakan Setiausaha Agung parti itu berkata, beliau berada di luar negara dan memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kali ini.
ASPIRASI, yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Reformasi Negeri (State Reform Party atau STAR), merupakan parti politik tempatan yang konsisten memperjuangkan autonomi Sarawak serta hak negeri ini berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sepanjang menerajui parti itu, Soo lantang memperjuangkan hak dan autonomi Sarawak. Antara cadangan yang pernah dikemukakannya ialah menukar gelaran Premier Sarawak kepada “Perdana Menteri Sarawak” pada Januari 2025.
Susulan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan parti pada 2026, Buln Patrick Ribos dipilih sebagai presiden, manakala Hugh Lawrence Zehnder dilantik sebagai pengerusi bagi penggal lima tahun sehingga 2031. Soo pula memegang jawatan setiausaha agung parti.
Soo sebelum ini bertanding di kerusi N.09 Padungan atas tiket ASPIRASI pada PRN Sarawak 2021, dengan memperoleh 193 undi dalam pertandingan empat penjuru yang dimenangi calon DAP, Chong Chieng Jen, dengan 4,686 undi.
ASPIRASI bertanding di 15 kerusi pada pilihan raya tersebut tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.
Menurut rekod ElectionData.MY, Soo telah bertanding dalam empat pilihan raya sejak 2011 tetapi masih belum berjaya memenangi mana-mana kerusi. Penyertaan beliau adalah seperti berikut:
- PRN Sarawak 2011: Bertanding di kerusi N.11 Batu Lintang sebagai calon Bebas dan memperoleh 290 undi.
- Pilihan Raya Umum 2013: Bertanding di kerusi P.196 Stampin atas tiket STAR dan memperoleh 239 undi.
- PRN Sarawak 2016: Bertanding di kerusi N.11 Batu Lintang atas tiket STAR dan memperoleh 331 undi.
- PRN Sarawak 2021: Bertanding di kerusi N.09 Padungan atas tiket ASPIRASI dan memperoleh 193 undi.
Sementara itu, ASPIRASI telah menamakan bendahari agungnya, Jileng Kion, sebagai calon parti bagi kerusi Opar pada PRN Sarawak akan datang.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, manakala hari pengundian akan berlangsung pada 12 Disember.
Oleh Connie Chieng




