PRN: Semak dan imbang bukan sekadar membantah -Wilfred Yap

Facebook
WhatsApp
WILFRED Yap Yau Sin ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Watikah kepada Calon GPS bagi PRN Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Jalan Bako. Foto Adele Rissa

PETRA JAYA, 26 November: Fungsi semak dan imbang dalam sistem demokrasi perlu disertai usaha mengemukakan cadangan membina serta menyelesaikan masalah rakyat, bukan sekadar membantah setiap tindakan kerajaan.

Calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N12 Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, wakil rakyat perlu memainkan peranan secara konstruktif dengan mengutamakan penyelesaian isu di peringkat akar umbi.

Menurutnya, tanggungjawab wakil rakyat bukan sekadar mengkritik atau membangkitkan pertikaian politik, sebaliknya perlu disertai tindakan dan komitmen untuk membawa pembangunan kepada kawasan yang diwakili.

“Semak dan imbang bukan bermaksud membantah, dan ia bukan tentang menentang setiap perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Perkara paling penting ialah kita perlu bekerjasama dengan kerajaan supaya masalah di peringkat akar umbi dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Watikah kepada Calon GPS bagi PRN Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Jalan Bako, di sini.

Mengulas lanjut, Wilfred berkata, rakyat turut memainkan peranan penting dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang dengan menilai prestasi wakil rakyat yang dipilih, khususnya dari segi kesungguhan turun padang, menyelesaikan masalah penduduk dan membawa pembangunan ke kawasan masing-masing.

Katanya, wakil rakyat GPS perlu mengambil pendekatan proaktif dengan memanfaatkan peruntukan yang diberikan untuk menyelesaikan masalah penduduk, khususnya isu yang boleh ditangani di peringkat kawasan.

“Jika masalah itu lebih besar, seperti melibatkan infrastruktur atau perkara lain, kita perlu membawa isu berkenaan kepada kepimpinan tertinggi supaya penyelesaian dapat diusahakan.

“Tiada gunanya kita menyalahkan satu sama lain atau bertelagah. Apa yang penting ialah kita bekerja,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pembangunan Kota Sentosa masih memerlukan perhatian berterusan meskipun pelbagai inisiatif telah dimulakan sejak GPS memenangi kerusi berkenaan pada 2021.

Menurutnya, sebahagian projek pembangunan yang dimulakan sepanjang lima tahun lalu masih berada pada peringkat pelaksanaan dan memerlukan kesinambungan.

Tegasnya, tanggapan bahawa kawasan bandar tidak memerlukan pembangunan lanjut adalah tidak tepat kerana kawasan seperti Kota Sentosa juga perlu terus diberi perhatian dalam agenda pembangunan Sarawak

Oleh Adele Rissa