PETRA JAYA, 20 November: Penggunaan istilah ‘semak dan imbang’ oleh DAP dalam memperjuangkan keseimbangan kuasa politik di Sarawak sebenarnya merujuk kepada usaha menghalang Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), bukannya prinsip semak dan imbang dalam sistem pentadbiran negara.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana istilah semak dan imbang mempunyai maksud khusus dalam sistem pemerintahan yang berasaskan doktrin pengasingan kuasa, iaitu pembahagian kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Menurutnya, apa yang diperjuangkan DAP melalui penggunaan istilah berkenaan lebih tepat disebut sebagai ‘semak parti’ atau ‘partisan check’, iaitu usaha politik untuk memastikan parti pembangkang mempunyai perwakilan dalam DUN bagi menghalang satu gabungan menguasai semua kerusi.
Beliau menegaskan, kedua-dua konsep itu tidak boleh disamakan kerana semak dan imbang merupakan mekanisme institusi untuk mengawal serta mengehadkan kuasa antara tiga cabang pemerintahan, manakala semak parti pula berkaitan persaingan dan keseimbangan sokongan politik melalui pilihan raya.
Asfia berkata, doktrin pengasingan kuasa yang diperkenalkan ahli falsafah politik Perancis, Charles-Louis de Secondat, Baron de La Brède et de Montesquieu melalui karya De l’Esprit des Lois pada 1748 menjadi asas penting kepada pemahaman mengenai pembahagian kuasa dalam sistem pemerintahan moden.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau turut merujuk Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 39, 44 dan 121 yang masing-masing memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan, kuasa perundangan Persekutuan serta kedudukan badan kehakiman.
Katanya, prinsip berkenaan turut terpakai pada peringkat kerajaan negeri, termasuk Sarawak, walaupun sistem Westminster yang diamalkan Malaysia memperlihatkan pertindihan keanggotaan antara badan eksekutif dengan legislatif.
Dalam sistem itu, anggota eksekutif lazimnya terdiri daripada ahli badan perundangan, sekali gus membolehkan kerajaan dipersoalkan dan diperiksa oleh wakil rakyat lain melalui persidangan DUN, pertanyaan, perbahasan serta penelitian terhadap dasar dan tindakan kerajaan.
Beliau menjelaskan, melalui sistem berkenaan, anggota kerajaan tidak terlepas daripada penelitian kerana mereka masih tertakluk kepada pertanyaan, teguran dan pemeriksaan oleh ahli-ahli DUN yang lain.
Sehubungan itu, Asfia menegaskan bahawa tuntutan supaya GPS tidak memenangi semua kerusi DUN atas alasan mahu mewujudkan semak dan imbang merupakan penggunaan istilah yang tidak tepat dari sudut konsep perlembagaan.
Beliau berkata, tidak wajar sesebuah parti politik menggunakan istilah semak dan imbang untuk menggambarkan keperluan menghalang kemenangan parti lawan kerana perkara itu sebenarnya berkaitan persaingan mendapatkan mandat pengundi, bukannya pembahagian kuasa antara institusi kerajaan.
“Kalau mereka mengatakan semak dan imbang, tanyalah apa yang mereka maksudkan. Apa yang mereka maksudkan selama ini ialah semak parti, bukannya semak dan imbang,” katanya.
Menurutnya, penggunaan istilah yang tepat penting supaya masyarakat memahami perbezaan antara fungsi pembangkang dalam sistem demokrasi dengan mekanisme perlembagaan yang memastikan kuasa kerajaan tidak tertumpu kepada satu cabang pemerintahan.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada konsep semak dan imbang di peti undi kerana pilihan raya merupakan proses rakyat menentukan wakil yang mahu diberikan mandat untuk mentadbir, manakala semak dan imbang berlaku melalui mekanisme institusi pemerintahan.
Dalam konteks itu, katanya, pengundi akan menilai manfaat dan hasil yang boleh ditawarkan oleh setiap parti, termasuk kemampuan melaksanakan pembangunan serta memberikan pulangan kepada rakyat melalui dasar dan peruntukan kerajaan.
Asfia turut membangkitkan keputusan pilihan raya negeri Sabah sebagai contoh bagaimana pengundi membuat pilihan berdasarkan pertimbangan politik masing-masing, sekali gus memperlihatkan bahawa kemenangan atau kekalahan sesebuah parti ditentukan melalui mandat rakyat dan bukannya keperluan memberikan ruang kepada pihak tertentu.
Beliau turut menyentuh pelantikan dua Datuk Bandar berbangsa Cina di Sarawak, masing-masing di Kuching dan Miri, sebagai contoh mekanisme semak parti dalam kalangan rakan komponen GPS.
Sebaliknya, beliau membandingkan keadaan itu dengan Pulau Pinang yang menurutnya tidak mempunyai Datuk Bandar berbangsa Cina, sambil mempersoalkan pihak yang memperjuangkan semak dan imbang tetapi gagal menghasilkan perwakilan sedemikian dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan negeri berkenaan.
Asfia berpandangan, kedua-dua Datuk Bandar berkenaan tidak seharusnya dijadikan pertaruhan dalam persaingan politik atas nama semak dan imbang sehingga perkhidmatan serta peranan mereka kepada masyarakat terjejas.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa semak dan imbang yang sebenar perlu dilihat melalui hubungan antara tiga cabang pemerintahan, bukannya semata-mata berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi kerajaan atau pembangkang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perjuangan politik untuk mendapatkan lebih banyak kerusi pembangkang sepatutnya disebut sebagai usaha memperkukuh perwakilan parti dan persaingan demokrasi, bukannya disamakan secara langsung dengan doktrin semak dan imbang.
Katanya, parti yang mahu memainkan peranan sebagai pembangkang perlu menjelaskan kepada pengundi bagaimana mereka mampu menawarkan dasar alternatif, membawa isu rakyat dan memastikan pentadbiran kerajaan terus dipertanggungjawabkan.
Kenyataan Asfia itu hadir ketika isu peranan pembangkang dan keperluan semak dan imbang kembali menjadi antara naratif utama menjelang PRN Sarawak ke-13.
DAP Sarawak sebelum ini menyatakan hasrat untuk memperkukuh peranannya sebagai pembangkang dengan mendapatkan lebih banyak kerusi DUN.
Semalam Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengesahkan parti itu akan bertanding di enam kawasan, termasuk Batu Lintang, Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawa, dengan harapan memperoleh lebih banyak kerusi bagi memperkukuh semak dan imbang dalam DUN.
Dalam pilihan raya negeri 2021, DAP hanya memenangi dua daripada 82 kerusi DUN, iaitu Padungan dan Pending.
Bagaimanapun, penjelasan Asfia tidak bermaksud peranan pembangkang dalam DUN tidak penting. Dalam sistem demokrasi berparlimen, wakil rakyat pembangkang mempunyai tanggungjawab untuk meneliti dasar kerajaan, mempersoalkan keputusan pentadbiran, mengemukakan pandangan alternatif serta memastikan penggunaan kuasa dan sumber awam dipertanggungjawabkan.
Malah, fungsi penelitian terhadap tindakan eksekutif merupakan antara peranan penting badan perundangan dalam sistem Westminster.
Asfia bagaimanapun mahu penggunaan istilah semak dan imbang dalam kempen politik tidak mengaburkan perbezaan antara persaingan mendapatkan mandat rakyat dengan mekanisme pengawasan kuasa kerajaan.
Beliau berkata, GPS yang bertanding di semua 82 kerusi sudah tentu mahu memenangi kesemuanya, manakala parti lain perlu meyakinkan pengundi mengapa mereka layak diberikan mandat.
Beliau turut menegaskan bahawa prinsip pengasingan kuasa dan semak dan imbang perlu difahami dengan tepat kerana ia bukan sekadar slogan politik, sebaliknya berkaitan struktur serta fungsi institusi pemerintahan.
Oleh Afiq Sallehi




