JENDELA pacu transformasi digital hingga ke pedalaman Sarawak

Facebook
WhatsApp
JENDELA memacutransformasi digital hingga ke pedalaman Sarawak.

KUCHING, 13 November: Akses Internet yang stabil dan berkualiti bukan lagi sekadar kemudahan komunikasi, sebaliknya menjadi keperluan asas yang membuka peluang lebih luas dalam pendidikan, ekonomi, perniagaan dan perkhidmatan digital.

Bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman Sarawak, peluasan liputan Internet membawa harapan baharu untuk menikmati kemudahan digital yang selama ini lebih mudah diakses penduduk bandar.

Menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kerajaan terus memperkukuh infrastruktur telekomunikasi dan memperluas capaian jalur lebar bagi merapatkan jurang digital serta memastikan masyarakat tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

Cabaran geografi, usaha perluas liputan

Dengan keluasan geografi, penempatan penduduk yang berselerak serta bentuk muka bumi yang mencabar, usaha menyediakan infrastruktur telekomunikasi di Sarawak memerlukan perancangan teliti, pelaburan besar dan kerjasama berterusan pelbagai pihak.

MENARA telekomunikasi di Long Busang, Belaga.

Jarak antara penempatan, kesukaran akses ke kawasan pedalaman serta kos pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur menjadi antara cabaran utama dalam memastikan perkhidmatan komunikasi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Namun, usaha memperluas jaringan digital terus menunjukkan perkembangan positif apabila kadar liputan berdasarkan kawasan penempatan di Sarawak mencapai 94.5 peratus setakat Disember 2025, dengan 4,696 menara telekomunikasi beroperasi di seluruh negeri.

Inisiatif pembangunan infrastruktur turut diperkukuh menerusi pembinaan 618 menara telekomunikasi luar bandar di bawah inisiatif SMART, selain 196 menara telekomunikasi lain yang menyokong penyediaan perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN).

Dalam usaha mempercepat peluasan liputan, kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM545 juta bagi pelaksanaan peringkat pertama JENDELA Fasa 2 di Sarawak, melibatkan 350 lokasi yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan capaian komunikasi.

Pelaksanaan projek ini merangkumi pembinaan menara telekomunikasi dan penyediaan kemudahan Internet, khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman yang masih berhadapan degan kekangan liputan.

Pendidikan lebih mudah diakses

Bagi pelajar di kawasan pedalaman, capaian Internet yang lebih baik membuka peluang untuk mengakses bahan pembelajaran digital, mengikuti kelas dalam talian dan mendapatkan sumber rujukan yang sebelum ini sukar diperoleh.

Kemudahan ini bukan sahaja membantu melancarkan proses pembelajaran, malah mengurangkan jurang akses pendidikan antara pelajar di bandar dengan mereka yang tinggal jauh dari pusat pembangunan.

BEBERAPA remaja bersiar-siar di Pantai Iftitah, Belawai baru-baru ini sambil menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik hasil daripada pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sarawak. Foto BERNAMA

Ibu bapa juga dapat memanfaatkan kemudahan digital untuk menyokong pembelajaran anak-anak, mendapatkan maklumat pendidikan serta berhubung dengan pihak sekolah dengan lebih mudah.

Ekonomi desa berpotensi berkembang

Dalam sektor ekonomi, peluasan liputan Internet memberi peluang kepada usahawan kecil, peniaga tempatan dan pengusaha industri desa untuk mengembangkan perniagaan melalui platform digital.

Produk tempatan seperti makanan tradisional, kraf tangan dan hasil pertanian berpotensi dipasarkan kepada pelanggan di luar kawasan setempat menerusi media sosial serta platform e-dagang.

Dengan capaian yang lebih baik, pengusaha tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pelanggan sekitar, sebaliknya berpeluang meneroka pasaran lebih luas, meningkatkan daya saing dan menjana pendapatan tambahan.

Perkembangan ini turut membuka ruang kepada golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan digital, pekerjaan dalam talian serta aktiviti ekonomi baharu tanpa perlu berhijrah ke bandar semata-mata untuk mencari peluang.

Urusan harian lebih mudah, peluang belia diperluas

Manfaat peluasan liputan Internet turut dirasai dalam kehidupan seharian apabila penduduk dapat berhubung dengan keluarga, memperoleh maklumat semasa dan mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.

TUAI Rumah Panjang, Kumbong Nyagang, 65, ketika berbual melalui panggilan video di kediamannya selepas dapat melayari perkhidmatan internet dengan kelajuan 4G di rumah panjang di Jalan Balingian-Matadeng baru-baru ini. Foto BERNAMA

Bagi masyarakat yang tinggal jauh dari pusat bandar, kemudahan ini berpotensi mengurangkan keperluan perjalanan untuk urusan tertentu, sekali gus menjimatkan masa dan perbelanjaan.

Golongan belia pula berpeluang mengikuti kursus dalam talian, meningkatkan kemahiran digital dan mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan serta pekerjaan.

Akses kepada sumber pembelajaran dan latihan digital juga membantu mereka membina kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja, sekali gus meningkatkan peluang untuk menyertai ekonomi digital.

Kualiti rangkaian dan literasi digital perlu seiring

Bagaimanapun, kejayaan peluasan liputan Internet tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah menara atau keluasan kawasan yang mendapat liputan semata-mata.

Aspek kestabilan rangkaian, kualiti perkhidmatan dan pengalaman sebenar pengguna perlu terus diberikan perhatian bagi memastikan infrastruktur yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara optimum.

Penyelenggaraan berkala, pemantauan prestasi rangkaian serta kerjasama antara kerajaan, penyedia perkhidmatan dan pihak berkaitan amat penting untuk memastikan perkhidmatan komunikasi kekal berkualiti.

Pada masa sama, usaha meningkatkan literasi dan kemahiran digital masyarakat perlu diperkukuh supaya pengguna bukan sahaja mempunyai akses kepada Internet, malah berupaya memanfaatkan teknologi secara selamat, produktif dan bertanggungjawab.

Keutamaan juga perlu diberikan kepada kawasan yang masih mempunyai liputan terhad agar manfaat pembangunan digital dapat dinikmati secara lebih inklusif, termasuk oleh masyarakat di penempatan terpencil.

Merapatkan jurang digital, membuka peluang masa depan

Hakikatnya, peluasan liputan Internet bukan sekadar usaha membina infrastruktur telekomunikasi, tetapi pelaburan jangka panjang dalam meningkatkan taraf hidup dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Melalui pelaksanaan JENDELA yang berterusan, jurang digital antara bandar dengan luar bandar di Sarawak berpotensi terus dirapatkan, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam pendidikan, ekonomi dan kehidupan seharian.

Matlamat akhirnya bukan sekadar memastikan lebih banyak kawasan mempunyai liputan Internet, tetapi memastikan masyarakat, walau di mana mereka berada, dapat menikmati peluang dan manfaat yang dibawa oleh transformasi digital negara.

Oleh Yanti Sham