MIRI,19 November: Seorang usahawan antarabangsa menyatakan minat untuk membangunkan pusat data pintar di Sarawak dengan nilai pelaburan awal yang dirancang sebanyak AS$1 bilion (kira-kira RM4 bilion), kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, usahawan itu menyatakan minat berkenaan ketika mengadakan kunjungan baru-baru ini. Menurutnya, nilai pelaburan kumulatif itu dijangka mencecah AS$50 bilion.
“Pelaburan itu melibatkan pembangunan pusat data pintar yang berteraskan bidang matematik, kimia dan fizik bagi menyokong perkembangan kecerdasan buatan (AI).
“Pelabur berkenaan memilih Sarawak kerana potensi negeri itu dari segi bekalan tenaga dan air, selain dasar pendidikan percuma yang dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Pengurusan dan Pengimarahan Masjid Sarawak sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 1448H/2026M Zon Utara di sini, petang tadi.
Abang Johari berkata, dasar pendidikan percuma penting untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan teknologi baharu, khususnya dalam bidang AI kuantum dan robotik.
Beliau turut menyentuh perkembangan robot humanoid yang mampu melaksanakan tugas tertentu dalam bidang keselamatan.
Sehubungan itu, katanya, Sarawak perlu terus menyesuaikan diri dengan perkembangan ilmu dan teknologi serta memastikan rakyat memiliki kemahiran yang diperlukan agar negeri kekal berdaya saing.
Oleh Liong Chai Ling



