LAWAS, 19 November: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari perlu sentiasa menyelaraskan gerak kerja dan bergerak seiring dengan rakan komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setiap jentera parti perlu mematuhi perancangan yang telah disusun bagi memastikan kempen berjalan lancar dan berkesan.
“Kita perlu bergerak bersama rakan daripada SUPP, PRS dan PDP untuk mendekati pengundi serta melaksanakan kempen.
“Setiap parti mempunyai kekuatan tersendiri dan kita merupakan satu pasukan yang bersatu di bawah GPS,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Program Semarak Ranting PBB Sarawak Cawangan Bukit Sari di Stadium Tertutup Lawas, hari ini.
Beliau turut menegaskan kepentingan memberikan penjelasan tepat kepada rakyat berhubung isu bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang masih dihadapi penduduk di daerah Lawas.
Katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan sejak dahulu bagi meningkatkan kemudahan berkenaan, termasuk mengadakan pertemuan dengan kementerian berkaitan serta agensi telekomunikasi seperti Sacofa bagi memastikan isu itu ditangani secara serius.
“Kita mengakui masalah yang dihadapi dan turut berdepan cabaran faktor alam semula jadi yang sentiasa berubah sehingga menjejaskan perkhidmatan bekalan air dan telekomunikasi di Lawas.
“Kita telah bertemu dengan agensi berkaitan untuk meneliti sejauh mana cabaran ini dapat diatasi supaya gangguan perkhidmatan dapat diminimumkan dan akhirnya diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Program Semarak Ranting PBB Sarawak Cawangan Bukit Sari itu menghimpunkan jentera PBB serta rakan komponen GPS di Lawas.
Taklimat pada program berkenaan disampaikan Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak, Datu Takun Sunggah; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Petrus Igat Mathias; dan Exco PBB Sarawak, Sulhi Salleh.




