Sarawak contoh perpaduan masyarakat pelbagai agama – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM...Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (duduk depan,tiga dari kanan) bersama tetamu kehormat yang lain merakamkan gambar kenangan bersama peserta Muktamar Pengurusan dan Pengimarahan Masjid Sarawak sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 1448H/2026M Zon Utara, petang tadi.

MIRI, 19 November: Keharmonian antara masyarakat Islam dan bukan Islam menjadi asas kepada pembangunan ummah dan negeri, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, Sarawak merupakan contoh negeri yang mengekalkan keharmonian apabila masyarakat pelbagai agama dapat hidup bersama dalam suasana aman dan bersatu padu.

“Dengan semangat kekeluargaan ini, kita mampu membangunkan ummah dan negeri tanpa sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Pengurusan dan Pengimarahan Masjid Sarawak sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 1448H/2026M Zon Utara di sini, petang tadi.

Abang Johari berkata, barisan kepimpinan Sarawak terdiri daripada pemimpin Islam dan bukan Islam yang bersama-sama melaksanakan tanggungjawab membangunkan masyarakat.

Menurutnya, pentadbiran yang teratur dan bertanggungjawab membolehkan hasil pembangunan dikembalikan kepada masyarakat demi kesejahteraan bersama.

“Perkara paling penting ialah integriti seseorang pemimpin serta kebijaksanaan dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya.

Beliau turut mengaitkan pendekatan itu dengan pemikiran tokoh sosiologi dan ekonomi Islam, Ibnu Khaldun, yang menekankan usaha memperbaiki taraf hidup masyarakat, termasuk dari segi ekonomi.

Katanya, pemikiran Ibnu Khaldun yang mendahului ahli ekonomi Barat seperti Adam Smith menekankan tanggungjawab pemimpin untuk memastikan pembangunan membawa manfaat kepada masyarakat.

Oleh Liong Chai Ling