Generasi muda digesa untuk menyemai minat dalam Program Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam mendepani dunia sains dan teknologi masa kini.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip berkata, ia selaras untuk melahirkan meningkatkan bakal saintis negara yang inovatif dan kreatif.
“Kementerian sentiasa menyokong inisiatif yang dijalankan bagi memupuk minat pelajar dalam bidang STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program STEM@UPMKB di betempat di salah sebuah Dewan Kuliah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB).
Program tersebut telah disertai oleh enam sekolah rendah terpilih di sekitar Bintulu.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Mohammad, SK Bintulu, SK Asyakirin, SK Majlis Islam Sarawak Bintulu, SK Sungai Tisang dan SK Jepak.
Talip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak yakin bahawa dengan kepakaran pensyarah di UPMKB, ia mampu menarik minat pelajar melibatkan diri dalam bidang itu.
Menurutnya, dengan adanya kepakaran yang dimiliki oleh para pensyarah di universiti terbabit, ia dapat memastikan program seumpama itu dalam diadakan dengan jayanya.
“UPMKB mempunyai ramai pakar dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi”
“Selain sebagai pengajar, pembuat modul mereka juga menjadi pemudahcara dalam aktiviti yang direncanakan dalam usaha menyuntik minat para pelajar dari sekolah yang terlibat dalam subjek yang berkaitan STEM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada pihak universiti bagi menjayakan Program E-Stem@upmkb.
Turut hadir ialah Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Bujang B.K. Huat, Pengarah Program STEM UPMKB Dr. Mohamad Maulana Magiman, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Tero Bayel dan Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMKB, Profesor Dr. Jayum Jawan.
Oleh Ellie Edward