
SIBU: Pertandingan mewarna anjuran Komuniti MADANI Norkiah bersama KRT Sungai Empawah yang bertemakan ‘Kediaman Hijau, Kita Jaga Bersama’ berperanan untuk menyemai kesedaran, pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar kepada semua peserta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, ini supaya semua pihak dapat memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar.
“Saya berharap melalui pertandingan ini, kesedaran yang lebih tinggi dapat diterapkan kepada semua peserta, supaya kita dapat menjaga alam sekitar persekitaran keluarga yang dikongsi bersama,” katanya semasa berucap merasmikan pertandingan tersebut yang berlangsung di Unicity, hari ini.
Beliau berkata, penyertaan dalam setiap program adalah lebih penting kerana semua orang adalah pemenang hanya dengan mengambil bahagian.
“Menang atau kalah dalam mana-mana pertandingan adalah perkara kedua,” katanya.
Wong berkata, pertandingan dianjurkan untuk memupuk semangat mencabar dan mencetuskan kreativiti dan imaginasi dalam kalangan peserta.
“Justeru, saya berharap dengan menyertai pertandingan ini dapat memupuk semangat kekeluargaan dan mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan kita semua,” katanya.
Sebanyak dua kategori dipertandingkan pada acara itu, yang pertama untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 9 tahun, dan kedua untuk mereka yang berumur 10 hingga 12 tahun.
Bagi kategori pertama, pemenang tempat pertama menerima RM250, tempat kedua RM150, tempat ketiga RM100, tempat keempat RM80, dan lima hadiah saguhati bernilai RM50 setiap satu.
Manakala bagi kategori kedua, pemenang tempat pertama menerima RM300, tempat kedua RM200, tempat ketiga RM150, tempat keempat RM100, dan lima hadiah saguhati bernilai RM50 setiap satu. Semua pemenang menerima sijil.
Oleh Akun Giman