KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima kunjungan perpisahan Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, di sini, hari ini.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kunjungan itu diadakan menjelang perpindahan Mohamad Zainal ke Bukit Aman selepas dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang baharu.
Pelantikan berkenaan diumumkan PDRM pada 15 September lalu, dengan Mohamad Zainal menggantikan Dato Sri Abdul Aziz Abdul Majid yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Mohamad Zainal sebelum ini menerajui Kontinjen Polis Sarawak mulai 26 September 2025 selepas mengambil alih tugas daripada Dato Mancha Ata yang bersara.
Sepanjang tempoh berkhidmat di Sarawak, beliau menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh aspek keselamatan negeri, termasuk menangani isu jenayah serta meningkatkan kemudahan dan keupayaan pasukan polis.
Oleh Afiq Sallehi




