
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk tiga kanak-kanak maut selepas sebuah bangunan kediaman runtuh di pinggir ibu kota India, menurut laporan tempatan dan pihak berkuasa.
Kejadian berlaku pada awal pagi waktu tempatan di daerah timur laut bandar yang kebanyakannya menempatkan pekerja asing, dengan anggota pasukan penyelamat menggali runtuhan sepanjang hari.
Sebelas orang disahkan meninggal dunia walaupun 11 yang lain diselamatkan dan dibawa ke hospital, lapor saluran NDTV.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, berkata beliau ‘sedih dengan insiden kehilangan nyawa itu’.
“Takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang, semoga yang cedera segera pulih,” kata pejabat Modi di X.
Presiden Droupadi Murmu, yang tinggal di istana rasminya pada jarak hanya 20 kilometer dari tapak runtuhan itu, berkata ‘kematian ramai orang termasuk wanita dan kanak-kanak amat menyedihkan’.
Setakat ini, punca runtuhan berkenaan masih belum dapat dikenal pasti.
Menteri Delhi, Kapil Mishra pula menyalahkan kegiatan rasuah dalam kerajaan perbandaran, yang dikendalikan oleh parti politik saingan dalam kejadian runtuhan itu.
“Pembinaan bangunan haram seperti itu sedang berjalan dengan lancar.
“Tinjauan ke atas semua bangunan haram ini perlu, tindakan tegas diperlukan terhadap mereka,” katanya di X.
Sementara itu, laporan media tempatan memaklumkan, bangunan empat tingkat itu ‘ranap seperti timbunan kad’.
Kejadian bangunan runtuh kerap berlaku di India dan struktur haram-selalunya rumah kepada pekerja asing adalah perkara biasa di bandar-bandar besar. – AFP