ROBAN, 6 Oktober: Pendidikan bukan sekadar medan mengejar kecemerlangan akademik, malah menjadi asas penting dalam membentuk generasi berakhlak mulia, berfikiran kritis, berdaya saing dan mempunyai jati diri kukuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata pendidikan perlu dilihat secara menyeluruh kerana kejayaan seseorang pelajar tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian peperiksaan semata-mata
Menurutnya, aspek sahsiah, kepimpinan, kreativiti, kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa turut menjadi elemen penting dalam membentuk modal insan berkualiti.
“Dalam dunia yang semakin mencabar ini, kita berhadapan dengan pelbagai isu pendidikan yang memerlukan perhatian dan tindakan bersama.
“Antaranya termasuk jurang pencapaian antara pelajar di kawasan bandar dan luar bandar, akses kepada kemudahan pembelajaran digital, kesejahteraan emosi murid serta isu keciciran pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalaka Tahun 2026, di sini semalam.
Mohamad Duri berkata setiap pelajar perlu diberikan peluang yang adil untuk memperoleh pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang keluarga atau kedudukan sosioekonomi.
Katanya, usaha memperkukuh sistem pendidikan juga perlu mengambil kira keperluan generasi masa kini yang berdepan perkembangan teknologi pesat serta perubahan landskap pekerjaan.
“Dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara, kerajaan telah memperkenalkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 sebagai hala tuju pembangunan pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.
“Rancangan ini memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pendidikan, meningkatkan mutu pembelajaran serta memastikan kejayaan pendidikan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata RPM 2026–2035 digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi yang meliputi peningkatan akses serta kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid, pemerkasaan profesionalisme pendidik, penambahbaikan prasarana dan pengukuhan kerjasama antara pihak berkepentingan.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian, katanya, ialah penguasaan ilmu dan kemahiran asas termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, selain pengukuhan pembelajaran Sejarah serta pembentukan jati diri kebangsaan.
Pada masa sama, pendidikan digital dan kemahiran teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu diperkasakan bagi memastikan murid mempunyai persediaan menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
“Laluan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) juga perlu diperluas bagi membuka lebih banyak peluang kepada murid mengembangkan bakat dalam bidang kemahiran, teknikal dan profesional,” katanya.
Mengulas mengenai pelajar Tingkatan Lima, Mohamad Duri mengingatkan mereka supaya menjadikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai peluang untuk membuka laluan kepada pendidikan dan kerjaya pada masa hadapan.
Beliau turut menasihatkan pelajar supaya mengurus masa dengan bijak, terus berusaha serta tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran.
“Kepada penerima anugerah, tahniah atas kejayaan yang dicapai. Namun, kejayaan hari ini bukanlah noktah perjalanan anda.
“Jadikan pengiktirafan ini sebagai pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau meminta pelajar yang belum menerima sebarang anugerah supaya tidak berasa rendah diri kerana setiap individu mempunyai kelebihan, bakat dan potensi yang berbeza.
Menurutnya, kecemerlangan boleh dizahirkan dalam pelbagai bidang termasuk akademik, sukan, seni, kepimpinan, teknologi dan kemahiran praktikal.
Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada guru dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan serta pengorbanan dalam memastikan kejayaan anak-anak.
“Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut membimbing, mendidik dan membentuk keperibadian anak-anak agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
“Kerjasama erat antara sekolah, keluarga dan masyarakat amat penting dalam memastikan setiap pelajar memperoleh persekitaran yang kondusif untuk belajar dan berkembang,” katanya.
Beliau berharap SMK Kalaka terus menjadi institusi pendidikan yang melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia, berdisiplin dan berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Pada majlis tersebut, beberapa pelajar turut menerima pengiktirafan atas pencapaian dalam bidang sahsiah, kokurikulum dan potensi kepimpinan.
Anugerah Sahsiah Terbaik Lelaki diberikan kepada Nelson Kanyan William, manakala Anugerah Sahsiah Terbaik Perempuan diterima oleh Arnney Shallo Anthony.
Bagi kategori kokurikulum, Ugap Jungan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kokurikulum Terbaik Lelaki, manakala Renee Khian Syen Xin menerima Anugerah Kokurikulum Terbaik Perempuan.
Sementara itu, Renee Khian Syen Xin turut menerima Anugerah Pelajar Harapan serta Anugerah Khas Pengetua.
Turut hadir Pengetua SMK Kalaka, Mudie Jantai; Penolong Kanan Pentadbiran, Sheila Mac Kemcee; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Kho Ah Tau; Penolong Kanan Kokurikulum, Martin Jalin; Pegawai Perhubungan Sekolah, Inspektor Josse Mual serta guru-guru dan warga pendidik.
Oleh Adi Safarman




