BEIJING, 6 Oktober: Cuti panjang sempena sambutan Hari Kebangsaan China dari 1 hingga 7 Oktober menyaksikan lebih 90 peratus pelancong melakukan perjalanan rentas wilayah menggunakan lebuh raya.
Seiring peningkatan perjalanan itu, semakin ramai pelancong memilih untuk memandu sendiri, dengan karavan semakin mendapat sambutan berikutan sokongan dasar dan kemudahan yang semakin lengkap.
Jika sebelum ini kebanyakan pelancong yang menyewa karavan terdiri daripada warga emas, kini kaedah perjalanan itu semakin mendapat sambutan dalam kalangan golongan muda.
Penggunaan karavan yang dahulunya lebih tertumpu kepada aktiviti perkhemahan di kawasan berdekatan kini semakin meluas untuk perjalanan jarak jauh, dengan tempoh sewaan secara purata sekitar tujuh hari atau lebih.
Perkembangan positif ini secara tidak langsung turut merancakkan pasaran automotif tempatan apabila ramai pengguna yang pada mulanya menyewa karavan mengambil keputusan untuk memiliki kenderaan itu sendiri, khususnya model kenderaan tenaga baharu (NEV).
Menurut statistik Persatuan Industri Automobil China, jumlah jualan karavan buat kali pertama melepasi angka 20,000 unit pada 2025. – Bernama-CMG




