STOCKHOLM, 6 Oktober: Hadiah Nobel Fizik tahun ini dianugerahkan kepada Francis Halzen dari Universiti Wisconsin-Madison di Amerika Syarikat (AS) kerana penyelidikannya mengenai neutrino, umum Jawatankuasa Nobel Fizik dan Akademi Sains Diraja Sweden pada hari ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Saintis kelahiran Belgium itu dianugerahkan hadiah berkenaan “atas sumbangan penting kepada Balai Cerap Neutrino IceCube dan penemuan neutrino bertenaga tinggi yang berasal daripada sumber astrofizik”, menurut akademi itu.
Halzen menyedari bahawa ais di Kutub Selatan boleh digunakan untuk mengesan neutrino, iaitu zarah asas kecil yang sukar dikesan dan tidak mempunyai cas elektrik.
“Visi dan kepimpinan saintifik beliau menjadi asas kepada Balai Cerap Neutrino IceCube iaitu bongkah ais seluas satu kilometer padu yang dilengkapi sensor cahaya. Dengan menggunakan IceCube, penyelidik dapat mengesan neutrino daripada proses yang mempunyai tenaga amat tinggi di alam semesta yang jauh,” menurut petikan penghargaan itu.
Halzen bakal menerima hadiah bernilai 12 juta kronor Sweden (RM4.9 juta). Yayasan Nobel baru-baru ini meningkatkan nilai hadiah sempena sambutan ulang tahun ke-125 anugerah Nobel.
Tahun lalu, hadiah itu dianugerahkan kepada ahli fizik kuantum John Clarke dari United Kingdom, Michel Devoret dari Perancis dan John Martinis dari AS.- Bernama-dpa





