SINGAPURA, 6 Oktober: Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan mewujudkan Kawasan Larangan Sementara (TRA) bagi semua aktiviti udara di beberapa kawasan di Singapura dari 8 hingga 12 Oktober sempena Grand Prix Formula Satu (F1) Singapura 2026.
CAAS memaklumkan pewujudan TRA itu bertujuan memastikan keselamatan orang ramai serta penerbangan helikopter pada altitud rendah bagi rakaman udara perlumbaan malam di bandar raya itu.
“Sepanjang tarikh dan waktu yang dinyatakan, semua aktiviti udara termasuk menerbangkan layang-layang, menaikkan belon bertambat dan menerbangkan pesawat tanpa pemandu seperti dron ke dalam serta di kawasan TRA adalah dilarang sama sekali, kecuali permit yang diperlukan telah diperoleh daripada CAAS.
“Selain TRA, sekatan sedia ada terhadap aktiviti udara dan pesawat tanpa pemandu dalam lingkungan lima kilometer dari aerodrom, kawasan bahaya, kawasan larangan, kawasan sekatan dan kawasan perlindungan kekal berkuat kuasa,” menurut CAAS dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut CAAS, menjalankan aktiviti udara dan pesawat tanpa pemandu dalam TRA tanpa permit yang diperlukan daripada pihak berkuasa itu merupakan satu kesalahan.
Individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga S$50,000 (RM159,500) atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, individu berkenaan boleh didenda sehingga S$100,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak bimbang dengan penerbangan helikopter pada altitud rendah di kawasan berkenaan sepanjang tarikh dan waktu tersebut,” menurut CAAS. – Bernama




