KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan Sarawak dipohon untuk membekalkan ‘kit kebersihan’ di semua sekolah di seluruh negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh mengakui kit kebersihan berupa pelitup muka dan cecair pembasmi kuman harus diberikan kepada pelajar sebagai langkah mencegah penularan pandemik Covid-19.
“Masalah utama yang dihadapi oleh sekolah dalam mendepani Pandemik Covid-19 adalah berkenaan dengan pelitup separuh muka dan cecair pembasmi kuman yang tidak mencukupi untuk pelajar sekolah,” katanya.
Miro berlata demikian ketika ditemui selepas bertemu dan berbincang dengan pengetua SMK Paku, Ambrose Jarit dan penyerahan pelitup separuh muka di SMK Paku, Bau Isnin lalu.
Miro berharap kerajaan mempertimbangkan permohonannya berikutan bantuan itu kini merupakan keperluan yang harus dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.
“Saya sarankan juga kepada kerajaan negeri Sarawak di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) supaya dapat mengambil sedikit inisiatif membantu sekolah-sekolah di negeri ini yang kekurangan dari segi pelitup muka dan Hand Sanitizer. Ia akan dapat meringankan beban pihak sekolah dan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah,” jelasnya.
Katanya lagi, pelajar memerlukan satu pelitup separuh muka sehari dan ini mendatangkan masalah bagi keluarga yang tidak mampu.
Dalam pada itu, Miro menyerahkan 50 kotak pelitup separuh muka kepada sekolah tersebut untuk digunakan oleh pelajar dan kakitangan.