ENGKILILI: Persatuan Teochew Engkilili diseru supaya terus memainkan peranan sebagai wadah yang memperkukuh perpaduan, keharmonian dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, peranan persatuan bukan sahaja penting dalam memelihara warisan serta kebudayaan masyarakat Teochew, malah turut menjadi penghubung dalam mempererat hubungan antara komuniti.
Menurut beliau, usaha berterusan dalam menganjurkan aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan dan sosial mampu mewujudkan suasana harmoni serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau turut menyeru golongan muda agar terus aktif dalam kegiatan kebudayaan, kemasyarakatan dan kepimpinan supaya kesinambungan peranan persatuan dapat diteruskan oleh generasi akan datang, selaras dengan semangat Segulai Sejalai.
“Golongan muda perlu diberi ruang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti persatuan kerana mereka merupakan generasi yang akan meneruskan legasi serta memperkukuh hubungan antara masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-65 Persatuan Teochew Engkilili serta Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa 2026–2027 di sini semalam.
Dalam majlis tersebut, Roy turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000, dengan RM20,000 disalurkan kepada Persatuan Teochew Engkilili manakala RM10,000 kepada Pemuda Teochew bagi menyokong pelaksanaan aktiviti persatuan.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng, barisan kepimpinan Persatuan Teochew Engkilili, ketua-ketua masyarakat Cina serta wakil persatuan Teochew dari seluruh Sarawak.
Oleh Adi Safarman





