MBKS perkasa persediaan hadapi masyarakat menua menjelang 2028

Facebook
WhatsApp
DATO Wee Hong Seng ketika ditemu bual media mengenai persediaan menghadapi masyarakat menua menjelang 2028, termasuk penyediaan kemudahan dan aktiviti untuk golongan warga emas, selepas menghadiri Festival Kebudayaan Cheongsam Keempat 2026 di Dewan Masyarakat, Jalan Padungan, hari ini.

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memperhebat persediaan menghadapi perubahan demografi apabila Sarawak dijangka memasuki fasa masyarakat menua menjelang 2028, termasuk memperluas kemudahan dan aktiviti yang mesra warga emas.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, persediaan itu bukan hanya melibatkan pembangunan infrastruktur, sebaliknya turut memastikan golongan warga emas kekal aktif, sihat dan dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah.

Menurutnya, warga emas tidak seharusnya hanya berada di rumah, sebaliknya perlu digalakkan menyertai aktiviti sosial, rekreasi dan kemasyarakatan bagi memastikan mereka terus aktif dalam komuniti.

 DATO’ Wee Hong Seng menyampaikan cenderamata kepada peserta paling tua pada Festival Kebudayaan Cheongsam Keempat 2026 yang turut mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records.

“Dua tahun bukan tempoh yang panjang. Sebab itu segala persediaan perlu dilakukan dengan cepat,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Festival Kebudayaan Cheongsam Keempat 2026 di Dewan Masyarakat, Jalan Padungan, di sini, hari ini.

Wee berkata, MBKS sudah menyediakan dua petak parkir khas untuk warga emas di pasar awam, yang terletak bersebelahan petak parkir orang kurang upaya (OKU), dan kemudahan itu akan diperluas ke pusat beli-belah serta kawasan awam lain.

Pada masa sama, MBKS turut merancang membawa cadangan pengecualian bayaran parkir bagi kenderaan yang menggunakan petak OKU untuk pertimbangan Majlis Penuh sebelum dikemukakan kepada Menteri bagi mendapatkan kelulusan.

PESERTA mempersembahkan tarian sambil memperagakan pakaian cheongsam pada Festival Kebudayaan Cheongsam Keempat 2026 di Dewan Masyarakat, Jalan Padungan, hari ini.

Beliau berkata, aspek hubungan kekeluargaan juga penting dalam memastikan kebajikan warga emas terus terpelihara, terutama bagi mereka yang tinggal berasingan daripada anak-anak.

Katanya, kehadiran anak-anak dan komunikasi secara langsung amat diperlukan kerana warga emas bukan sahaja memerlukan penjagaan fizikal, tetapi juga sokongan serta perhatian daripada keluarga.

“Kita mahu memastikan mereka menua dengan bermaruah dan sihat supaya dapat menikmati gaya hidup yang baik. Tiada gunanya apabila seseorang itu semakin berusia tetapi hanya terlantar di atas katil,” katanya.

Dalam pada itu, Wee berkata MBKS turut menyediakan lebih 1,500 kupon kepada warga emas untuk membeli barangan keperluan seperti sayur-sayuran di pasar tempatan.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan menggalakkan warga emas keluar dari rumah selain membantu merancakkan aktiviti di pasar yang turut menjadi sumber pendapatan kepada penjaja dan usahawan tempatan.

Sementara itu, acara berkenaan turut mencipta rekod ketiga dalam Malaysia Book of Records dengan penyertaan lebih 500 orang, termasuk peserta berusia lebih 80 tahun.

Wee berkata, penyertaan secara sukarela itu menunjukkan warga emas masih mampu kekal aktif dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan apabila diberikan ruang serta peluang.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan sesebuah bandar bukan hanya bergantung kepada kemudahan fizikal dan bangunan, sebaliknya rakyat yang menghidupkan sesebuah bandar.

“Tanpa rakyat, ia ibarat bandar tanpa jiwa,” katanya.

Turut hadir Timbalan Datuk Bandar MBKS Dato Dr. Zaiedi Suhaili. 

Oleh Afiq Sallehi

PEKEMA sedia hadapi peralihan pengguna kepada EV

KUCHING: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu (PEKEMA) melihat peralihan cita rasa pengguna daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan