PAKAN: Keharmonian dan perpaduan yang sekian lama menjadi kekuatan masyarakat Pakan perlu terus dipertahankan, di samping mengetengahkan kekayaan budaya tempatan kepada masyarakat di luar daerah tersebut.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kepelbagaian budaya yang terdapat di Daerah Pakan merupakan identiti masyarakat setempat yang wajar dipelihara dan diperkenalkan dengan lebih meluas.
“Perpaduan di Pakan sentiasa ada dan perlu dipertahankan. Pada masa sama, kita perlu mempamerkan budaya yang ada di Daerah Pakan kepada masyarakat di luar,” katanya.

Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perpaduan anjuran Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Sugai di Dewan Masyarakat Pakan pada malam tadi.
Katanya, penganjuran program kemasyarakatan bukan sekadar menghimpunkan penduduk, malah boleh dimanfaatkan sebagai platform untuk bertukar pandangan mengenai perkara yang berkaitan dengan komuniti.
“Jadikan majlis seperti ini sebagai medan untuk bertukar pandangan. Melalui pertemuan sebegini, kita dapat berkongsi pandangan dan pada masa sama mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Tambahnya, peranan KMKK juga tidak seharusnya terbatas kepada urusan pentadbiran masyarakat, sebaliknya perlu disertai dengan pelaksanaan aktiviti yang dapat menggerakkan penyertaan komuniti.
“KMKK mesti ada aktiviti. Aktiviti yang dilaksanakan dapat menghimpunkan masyarakat serta memastikan hubungan dalam komuniti terus terjalin,” katanya lagi.
Jelasnya, penglibatan aktif kepimpinan masyarakat penting bagi memastikan komuniti mempunyai ruang untuk berinteraksi, bekerjasama dan bersama-sama menjayakan kegiatan yang memberi manfaat kepada penduduk.
Dalam aspek kebudayaan, Mawan mahu keunikan yang terdapat di Pakan terus diketengahkan agar warisan masyarakat tempatan bukan sahaja dapat dipelihara, malah lebih dikenali di luar daerah tersebut.
Katanya, usaha itu juga boleh dilaksanakan melalui penganjuran program kemasyarakatan dan kebudayaan yang memberi ruang kepada masyarakat mempersembahkan identiti dan warisan masing-masing.
Beliau berharap semangat kebersamaan yang sedia terjalin dalam kalangan masyarakat Pakan terus diperkukuh menerusi penglibatan KMKK dan komuniti dalam pelbagai aktiviti pada masa akan datang.
Oleh Earl Anek




