Sulaman manik, labuci warisan Orang Ulu terus diperkasa

Facebook
WhatsApp
MUJAN Nyeigok bersama dua anaknya ketika ditemui media pada Bengkel Sulaman Manik dan Labuci di Lepo Lisun Tam, Bintulu, petang tadi.

BINTULU: Seni sulaman manik dan labuci warisan Orang Ulu perlu terus dipelihara dengan menyesuaikannya mengikut perkembangan semasa supaya kekal relevan dan dapat diperkenalkan kepada generasi muda.

Jurulatih bertauliah yang dilantik khas di bawah Majlis Kraf Sarawak (SCC), Puan Mujan Nyeigok, 55, berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan seni warisan masyarakat Orang Ulu tidak hilang ditelan zaman.

Menurutnya, elemen ukiran tradisional kini boleh diaplikasikan pada pakaian moden dan tidak semestinya terhad kepada pakaian tradisional.

“Benda ini kita adaptasikan kepada pakaian biasa, gaun, skirt, seluar dan baju supaya boleh digunakan pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Sulaman Manik dan Labuci di Lepo Lisun Tam, di sini.

Bengkel anjuran Victoria’s Enterprise bersama Persatuan Kayan Sarawak dengan sokongan Majlis Kraf Sarawak itu berlangsung selama dua hari, dari 19 hingga 20 September 2026, dengan penyertaan 25 peserta.

Peserta didedahkan kepada sejarah kraftangan manik dan labuci, penggunaan bahan serta pelbagai teknik jahitan sulaman.

Menariknya, bengkel berkenaan turut menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang masyarakat, termasuk Iban, Bidayuh, Kenyah dan Melayu.

Mujan berkata, sasaran utama bengkel bukan sahaja dalam kalangan pengusaha kraftangan, malah turut memberi tumpuan kepada wanita, ibu dan golongan belia.

MUJAN Nyeigok bersama anaknya Loretta Livan menunjukkan cara menyediakan motif pada kain sebelum proses menyulam, termasuk menekap motif menggunakan seterika.

Katanya, penglibatan golongan muda penting bagi memastikan mereka memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan industri kraftangan berkenaan pada masa hadapan.

“Memang saya galakkan golongan belia supaya mereka lebih proaktif dalam membangunkan industri ini dan memainkan peranan yang lebih besar,” katanya.

Menurutnya, minat golongan muda terhadap kemahiran berkenaan juga menunjukkan potensi untuk dikembangkan apabila sebahagian peserta menunjukkan kesungguhan mempelajari teknik sulaman walaupun ada yang belum mempunyai asas.

Mujan berkata, peserta bengkel turut diberi peluang membawa pulang hasil sulaman yang disiapkan sepanjang latihan.

Katanya, bimbingan kepada peserta akan diteruskan selepas bengkel dan tidak terhad kepada tempoh latihan sahaja.

“Kita akan terus bimbing berpanjangan, bukan setakat di bengkel,” katanya.

Beliau berkata, bengkel seumpama itu juga tidak terhad kepada satu lokasi kerana pihaknya menerima permintaan daripada pelbagai pihak untuk mengadakan latihan di tempat lain.

MUJAN Nyeigok sedang mengajar peserta melukis motif kenyalang pada pakaian semasa Bengkel Sulaman Manik dan Labuci di Lepo Lisun Tam, Bintulu.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, beliau turut menjalankan bengkel dan latihan di beberapa lokasi di Sarawak berdasarkan permintaan pihak yang berminat.

Dalam pada itu, Mujan berkata, kemahiran sulaman manik dan labuci mempunyai potensi untuk dikembangkan ke pasaran lebih luas, termasuk di luar negara.

Katanya, antara perancangan yang ingin direalisasikan ialah menghasilkan bahan pembelajaran dalam bentuk buku elektronik (e-buku), video dan panduan kendiri supaya lebih ramai pihak dapat mempelajari teknik berkenaan.

“Impian saya supaya ramai lagi yang boleh buat dan industri ini berkembang, serta kraftangan ini dikenali sebagai sesuatu yang berasal dari Sarawak,” katanya.

Beliau turut melihat golongan muda sebagai antara kumpulan penting dalam meneruskan perkembangan industri berkenaan, termasuk melalui penglibatan mereka dalam reka bentuk fesyen.

Menurutnya, perkara itu sudah mula diperlihatkan menerusi penglibatan anaknya, Loretta Livan, sebagai pereka fesyen yang mengetengahkan hasil sulaman berkenaan pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW).

Mujan berkata, hasil yang diperkenalkan menerusi penglibatan Loretta dalam acara berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dan pihak yang hadir.

BEBERAPA peserta memberi tumpuan ketika mengikuti sesi menghasilkan motif kenyalang pada pakaian semasa Bengkel Sulaman Manik dan Labuci di Lepo Lisun Tam, Bintulu.

“Ramai yang berminat dengan hasil kita, ramai yang datang dan bertanya. Kita juga sudah banyak menjual produk kepada mereka,” katanya.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan hasil sulaman tradisional Sarawak mempunyai ruang untuk diketengahkan dalam industri fesyen moden sekiranya reka bentuk dan penghasilannya terus diperkembangkan.

Usaha memperkembangkan reka bentuk dan teknik sulaman serta meningkatkan penglibatan generasi muda perlu diteruskan bagi memastikan sulaman manik dan labuci warisan Orang Ulu kekal relevan dan terus berkembang dalam industri kraftangan serta fesyen semasa.

Oleh Faizah Muzidi