KUCHING, 3 November: Semua sekolah di kawasan Parlimen Puncak Borneo diminta segera mengemukakan permohonan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan fizikal bagi tahun 2027 kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, saluran khas permohonan berkenaan dibuka selama sebulan bermula 1 hingga 30 November 2026.
Beliau berkata, peluang itu perlu dimanfaatkan oleh semua pihak sekolah susulan penyediaan peruntukan RM2 bilion dalam Belanjawan MADANI 2027 bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan semua jenis sekolah di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar serta pengetua supaya mengambil tindakan segera mengenal pasti keperluan sekolah masing-masing dan memastikan permohonan dikemukakan dalam tempoh ditetapkan.
Menurutnya, PIBG perlu mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan sekolah bagi mengenal pasti keperluan penyelenggaraan yang perlu diberi keutamaan.
Guru besar dan pengetua pula diminta menyelaras penyediaan senarai kerosakan serta keperluan infrastruktur dan kemudahan fizikal sekolah yang memerlukan pembaikan.
Antara kemudahan yang perlu diberi perhatian termasuk bumbung, tandas, bilik darjah, pendawaian elektrik, sistem saliran, bangunan sekolah, makmal, dewan dan kantin.
Willie berkata, semua permohonan perlu dikemukakan menerusi saluran rasmi yang ditetapkan KPM sebelum atau pada 30 November ini.
Beliau tidak mahu mana-mana sekolah di kawasan Puncak Borneo terlepas peluang mendapatkan peruntukan berkenaan akibat kelewatan, kekurangan penyelarasan atau kegagalan mengemukakan permohonan.
“Keutamaan kita adalah memastikan anak-anak di Puncak Borneo mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan kondusif, tanpa mengira sama ada mereka bersekolah di kawasan bandar, pinggir bandar mahupun luar bandar,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya.
Beliau berharap semua pihak berkaitan memberikan perhatian serius dan mengambil tindakan segera demi memastikan keperluan kemudahan sekolah dapat dikemukakan untuk pertimbangan KPM.
Oleh Shikin Mahmud




