MIRI, 24 November: Kerajaan Sarawak merancang memperluaskan rangkaian Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) ke tujuh lagi kawasan di negeri ini secara berperingkat sehingga 2030.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kawasan yang dikenal pasti ialah Samarahan, Lawas, Betong, Kapit, Serian dan Bintulu, selain usaha memperluaskan akses perkhidmatan ke kawasan luar bandar serta pedalaman.
Menurutnya, ketika ini dua pusat OSEIC telah beroperasi di Kuching dan Dalat, manakala pembukaan awal OSEIC Sarawak Miri menandakan satu lagi langkah penting dalam memperluaskan kemudahan berkenaan.
Beliau berkata, peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan intervensi awal memerlukan kerajaan terus memperluaskan rangkaian pusat berkenaan supaya lebih ramai kanak-kanak mendapat bantuan sewajarnya.
“Kita tidak mahu lokasi atau jarak menjadi penghalang kepada seseorang anak untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Awal OSEIC Sarawak Miri di Tudan, hari ini.
Fatimah berkata, OSEIC menyediakan pelbagai perkhidmatan intervensi awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas berusia enam tahun dan ke bawah.
Perkhidmatan itu merangkumi aspek pertuturan dan bahasa, kognitif, sosial, motor, fizikal serta pembelajaran.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengenal pasti kelewatan perkembangan kanak-kanak seawal mungkin bagi membolehkan bantuan bersesuaian diberikan tanpa perlu menunggu proses diagnosis yang panjang.
Menerusi pendekatan pintu terbuka, kanak-kanak yang menunjukkan tanda kelewatan perkembangan boleh mendapatkan sokongan intervensi awal.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan aktif dengan meneruskan aktiviti pembelajaran dan latihan di rumah menerusi komunikasi, membaca, bermain serta menggalakkan anak melakukan aktiviti harian secara berdikari.
Katanya, kerjasama antara ibu bapa dengan ahli terapi penting bagi memahami keperluan setiap kanak-kanak dan merancang pendekatan intervensi yang bersesuaian.
Oleh Liong Chai Ling




