SIBU, 24 November: Seorang wanita berusia 64 tahun maut selepas dilanggar bas yang dinaikinya sejurus selepas turun daripada kenderaan itu di Jalan Channel, berhampiran Pasar Sentral Sibu, pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 9.15 pagi ketika mangsa dipercayai melintas di hadapan bas berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati bas jenis Hino itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun dari arah Jalan Pulau melalui Jalan Channel menuju ke Jalan Bengkel.
“Pemandu bas dipercayai tidak menyedari kehadiran mangsa sebelum meneruskan pergerakan dan melanggarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan paha kiri.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 10.15 pagi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sibu.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Rumah Mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.
Abang Zainal Abidin berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas berkenaan mendapati keputusan negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Polis turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan serta meningkatkan kewaspadaan ketika berada di jalan raya.
Oleh Tarani Lanting




