Jentera PBB Bukit Sari mula bergerak, pastikan penamaan calon dan kempen berjalan lancar

Facebook
WhatsApp
BUKIT SARI GEMPUR...Jawatankuasa induk PBB Cawangan Bukit Sari perkemas jentera untuk menjalankan amanah yang diberikan.

LAWAS, 24 November: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari mula bergerak bagi memastikan urusan penamaan calon dan kempen pilihan raya berjalan lancar serta dilaksanakan secara berhemah.

Setiausaha PBB Cawangan Bukit Sari, Kr. Awang@Ibrahim bin Ahmad berkata, persiapan jentera setakat ini berjalan lancar bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari.

“Setakat ini, empat borang pencalonan telah dibeli oleh individu di Lawas. Namun, ini tidak bermakna mereka akan bertanding kerana pembelian borang semata-mata tidak menjamin penyertaan dalam pilihan raya.

PERSIAPAN PRN… Jawatankuasa Induk PBB Cawangan Bukit Sari memperkemas jentera bagi memastikan segala persiapan menghadapi PRN Sarawak berjalan lancar.

“Perkara ini adalah normal dan kita berpegang kepada konsep demokrasi yang membolehkan sesiapa sahaja bertanding,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Awang@Ibrahim turut memaklumkan bahawa lebih 3,000 orang dijangka hadir bagi memberikan sokongan dan mengiringi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada hari penamaan calon.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 26 Oktober 2026, manakala penamaan calon ditetapkan pada 28 November 2026.

Pengundian awal dijadualkan pada 8 Disember 2026, sementara hari mengundi ditetapkan pada 12 Disember 2026.

Penamaan calon bagi DUN Bukit Sari akan berlangsung di Bangunan Pentadbiran Bersepadu (IAC), Lawas.

Oleh Adeng Edrus