KUALA LUMPUR, 24 November: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said yang meninggal dunia petang tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau menerima berita pemergian tokoh sastera itu pada usia 91 tahun dengan rasa hiba dan sayu.
Beliau berkata menerusi novel Salina (1961), Allahyarham yang mesra dengan panggilan Pak Samad berjaya mendekatkan masyarakat kepada kehidupan golongan yang sering tersisih sekali gus mengajak orang ramai memahami kesusahan dan memperjuangkan harapan mereka.
“Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka… kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela Bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan,” katanya.
Perdana Menteri berkata beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, segala dosanya diampunkan serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dalam menghadapi kehilangan itu.
A Samad Said, atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said, menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.- Bernama




