KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji semula mekanisme subsidi bahan api bagi Sarawak dan mengembalikan kaedah terdahulu yang tidak mengenakan had kuota bulanan individu, kata Ahli Majlis, Cr Eric Tay.
Beliau berkata, peningkatan kuota subsidi BUDI Diesel daripada 300 kepada 400 liter mulai 1 September tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian muktamad bagi Sarawak.
“Bagi Sarawak, 400 liter tidak seharusnya menjadi jawapan terakhir. Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengkaji semula mekanisme subsidi diesel dan petrol serta mengembalikan kaedah terdahulu tanpa had kuota bulanan individu,” katanya.
Tay berkata, isu subsidi bahan api tidak sepatutnya dilihat hanya berdasarkan angka 300, 400 atau 500 liter sebulan, sebaliknya perlu mengambil kira sumbangan Sarawak kepada ekonomi minyak dan gas negara serta keadaan geografi dan ekonominya.
Beliau berkata, berdasarkan data Kerajaan Persekutuan, hasil petroleum huluan negara bagi tempoh 2018 hingga 2024 berjumlah kira-kira RM775.2 bilion, dengan Sarawak menyumbang kira-kira RM285.4 bilion, iaitu tertinggi antara tiga wilayah pengeluar utama, mengatasi sedikit Semenanjung Malaysia sebanyak RM284.8 bilion dan Sabah RM205 bilion.
“Sebagai salah satu negeri pengeluar minyak utama negara, saya tidak fikir permintaan Sarawak supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan mekanisme subsidi diesel tanpa had adalah sesuatu yang keterlaluan,” katanya.
Tay menegaskan tuntutan itu bukan untuk mendapatkan “layanan istimewa”, sebaliknya supaya Kerajaan Persekutuan mengambil kira realiti Sarawak dalam menggubal dasar bahan api seluruh negara.
Katanya, keluasan Sarawak, jarak jauh antara kawasan bandar dan luar bandar serta penggunaan kenderaan diesel dalam sektor pertanian, pengangkutan, pembinaan, perniagaan dan aktiviti mencari rezeki menyebabkan corak penggunaan bahan api di Sarawak berbeza.
Beliau turut mengingatkan bahawa tambahan 100 liter tidak bermakna semua pemilik kenderaan diesel yang layak akan menerima kuota itu secara automatik.
Menurut aturan terkini Kementerian Kewangan, pemilik kenderaan pikap dan jip diesel persendirian yang layak tetapi belum menerima tambahan kuota 100 liter perlu membuat permohonan melalui BUDI MADANI, manakala mereka yang telah diluluskan akan menerima pelarasan automatik kepada 400 liter mulai 1 September.
“Kerajaan menambah 100 liter adalah satu perkara, tetapi sama ada rakyat boleh mendapatkan tambahan 100 liter itu dengan mudah adalah perkara lain,” katanya.
Tay berkata, syarat kelayakan, dokumentasi dan proses semakan berpotensi menambah masa serta kos operasi pemohon.
Beliau berkata, proses permohonan perlu dipermudah dan dibuat secara telus supaya mereka yang benar-benar memerlukan subsidi tidak terhalang oleh prosedur yang rumit.
Mengulas persoalan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, mengenai sama ada Menteri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperjuangkan subsidi diesel Sarawak dalam Kabinet, Tay berkata isu itu tidak sepatutnya dijadikan medan untuk parti politik saling menyalahkan.
“BUDI Diesel adalah dasar Kerajaan Persekutuan dan segala urusan kewangan serta dasar berkaitan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merupakan Menteri Kewangan,” katanya.
Oleh Connie Chieng





