KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memperkukuhkan sistem pendidikan negeri ini selaras dengan Peruntukan Fasal 17 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang memberi kuasa kepada Sarawak dan Sabah menentukan dasar pendidikannya sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hakikat ini di sebalik pendidikan adalah perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Oleh itu katanya, impian Sarawak ini harus disokong oleh sumber modal insan yang terlatih dan berpengetahuan luas dengan sistem pendidikan bertaraf dunia kerana kekakyaan sumber asli sahaja tidak menjamin kejayaan sepenuhnya.
“Ini boleh kita pelajari daripada pengalaman negara seperti Singapura dan Jepun yang mampu menjadi sebuah kuasa ekonomi kerana kekuatan sumber manusianya walaupun tidak mempunyai sumber asli.
“Kesungguhan kerajaan Sarawak ke arah melahirkan sumber modal insan yang disesuaikan dengan keperluan negeri dan bertaraf global boleh dilihat daripada cadangan mewujudkan lima sekolah antarabangsa yang menggunakan silibus Cambridge.
“Salah satu sekolah tersebut sudahpun beroperasi di Kuching,” katanya dalam perutusan Hari Raya 2023 yang disambut umat Islam esok.
Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai empat universiti yang dimiliki melalui Yayasan Sarawak iaitu Swinburne University of Technology, Curtin University, University of Technology Sarawak (UTS) dan iCATS University College.
Selain itu katanya, Sarawak juga mempunyai pusat latihan, iaitu Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) yang memiliki kampus cawangan di beberapa tempat di negeri ini.
Abang Johari berkata perubahan lanskap pembangunan global ke arah masa hadapan dunia yang lestari telah meyakinkan kerajaan GPS pimpinannya untuk merangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS) 2030 untuk melakar hala tuju pasca Covid yang jelas berteraskan kemajuan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Saya yakin dengan strategi yang digariskan dalam PCDS 2030, Sarawak mempunyai keupayaan untuk terus berada pada landasan yang kukuh ke arah menjadi sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, insya-Allah,” katanya.
Beliau juga berkata, melalui peruntukan RM5.6 bilion dalam Belanjawan 2023 untuk Sarawak, keutamaan akan diberikan kepada usaha untuk mempertingkatkan taraf kemudahan seperti jalan raya, klinik dan sekolah di negeri ini.
“Walaupun jumlah peruntukan ini tidak mencukupi tetapi kita harus menggunakan jumlah yang disalurkan dengan sebaik-baiknya untuk memberi keselesaan kepada rakyat.
“Dengan pendapatan negeri yang dijangka terus meningkat kerajaan Sarawak akan meneruskan pembinaan jalan-jalan raya dan melengkapkan pembangunan utiliti seperti bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA