KUALA LUMPUR: Rawatan kesihatan mental di negara ini menunjukkan keberhasilan positif apabila 76 peratus pesakit psikiatri di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya dipulihkan dan diserap semula oleh pasaran guna tenaga setakat Jun lepas.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pencapaian menerusi program sokongan pekerjaan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) itu melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian yang disasarkan pada kadar 60 peratus.
Beliau berkata rawatan penyakit mental di negara ini tidak hanya memfokuskan kepada pengurangan gejala sebaliknya menekankan proses pemulihan fungsi agar pesakit mampu berdikari.
“Rawatan kesihatan mental bukan hanya bertujuan mengurangkan gejala penyakit, malah juga membantu pesakit kembali menjalani kehidupan harian bersama-sama keluarga dan bekerja. Menerusi 39 pusat MENTARI di seluruh negara, pesakit diberikan sokongan seperti pemulihan, sokongan psikososial, dan bantuan untuk kembali bekerja dan berdikari,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai indikator keberkesanan rawatan kesihatan mental di fasiliti kerajaan serta mekanisme menilai keberhasilan rawatan dan kadar pesakit yang kembali mendapatkan rawatan.
Dzulkefly berkata kualiti rawatan KKM turut dibuktikan melalui kadar kemasukan semula pesakit psikiatri ke hospital dalam tempoh tiga bulan iaitu 6.32 peratus bagi 2025 berbanding sasaran KPI yang ditetapkan iaitu kurang daripada 25 peratus.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Adnan berhubung potensi penggunaan ekstrak kanabis untuk rawatan kesihatan mental, Dzulkefly berkata KKM terbuka kepada penyelidikan klinikal perubatan sekiranya ia bersandarkan bukti saintifik.
Beliau berkata bagaimanapun, KKM menolak sekeras-kerasnya pendekatan nyahjenayah penggunaan bahan tersebut secara menyeluruh, mengambil iktibar daripada krisis kesihatan awam yang berlaku di Thailand sebelum ini.- Bernama




