PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan terus memperluas usaha meningkatkan literasi statistik dalam kalangan golongan muda menerusi pelbagai program termasuk pertandingan debat, datathon dan pengucapan awam.
Ketua Perangkawan Siti Asiah Ahmad berkata tiga program itu akan diteruskan sebagai aktiviti tahunan sempena Hari Statistik Negara (HSN) yang disambut pada 20 Oktober.
“Program berkenaan penting bagi memastikan generasi muda bukan sahaja cakna tentang data rasmi malah berupaya mencari, memahami dan menggunakannya dengan tepat.
“Usaha ini akan diteruskan setiap tahun dengan tambahan program literasi bagi melahirkan lebih ramai generasi yang memahami kepentingan statistik dan mampu menggunakan data sebagai asas membuat keputusan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Siti Asiah berkata pertandingan debat melibatkan penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dengan peserta diberikan markah tambahan sekiranya menggunakan data daripada DOSM dalam hujah mereka.
Pendekatan itu secara tidak langsung mendorong mereka mengenali sumber data rasmi serta memahami cara data boleh digunakan bagi menyokong sesuatu hujah.
Beliau berkata datathon pula memberi peluang kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi untuk menggunakan data DOSM dengan bantuan teknologi dan perisian bersesuaian sebelum menghasilkan analisis serta penyelesaian berdasarkan data itu.
“Daripada data DOSM, mereka akan lebih memahami cara melihat data dengan lebih tepat dan dijadikan maklumat yang lebih bermakna,” katanya.
Bagi peringkat sekolah menengah, Siti Asiah berkata DOSM menganjurkan pertandingan pengucapan awam yang memberikan markah tambahan kepada peserta menggunakan data daripada jabatan itu.
Bagi tujuan itu, peserta perlu merujuk laman sesawang dan penerbitan DOSM untuk mendapatkan sumber data sahih bagi menyokong hujah pengucapan mereka.
Beliau berkata sambutan terhadap tiga program itu semakin menggalakkan dengan jumlah penyertaan semakin meningkat berbanding ketika ia mula diperkenalkan.
“Pada peringkat awal, penyertaan hanya melibatkan kira-kira lapan hingga 20 kumpulan namun kini jumlahnya telah melebihi 100 penyertaan bagi sesetengah program,” katanya.
Siti Asiah berkata penyertaan tidak lagi terhad kepada institusi atau kawasan tertentu, sebaliknya diperluas ke seluruh negara bagi memberi peluang kepada lebih ramai mengambil bahagian sebelum peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir di Putrajaya pada 20 Oktober.- Bernama




