SIBU: Kepentingan mempunyai parti politik asas tempatan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) terletak pada keupayaannya melindungi kepentingan rakyat Sarawak dengan lebih berkesan.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat Kaunselor Kevin Lau berkata, hanya parti politik yang berasal dari Sarawak mempunyai ‘DNA’ yang mampu mengutamakan kepentingan Sarawak.
Menurutnya, adalah normal bagi rakyat Sarawak menginginkan parti yang berakar umbi di negeri ini menjadi suara mereka di Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dewan Rakyat dan juga Dewan Negara.
“Adalah wajar untuk kita mahukan seseorang yang serasi dengan kita dari segi pemikiran dan tindakan untuk menyuarakan pendapat bagi pihak kita.
“Malah, kita cenderung untuk mempercayai individu seperti itu untuk memperjuangkan kepentingan terbaik kita,” katanya menerusi kenyataan.
Kaunselor Lau yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan berkata, adalah logik untuk melihat sokongan terhadap GPS semakin kukuh.
“Saya percaya GPS diterima dan mendapat sokongan yang meluas daripada rakyat kerana ia melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.
“Sebagai gabungan yang berasaskan tempatan dan terdiri daripada parti-parti tempatan, GPS juga merupakan benteng kepercayaan dalam mempertahankan autonomi Sarawak dan memperjuangkan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Secara peribadi, kaunselor Lau berkata, beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap GPS kerana gabungan itu memastikan kepentingan Sarawak tidak dibayangi oleh pengaruh luar, membolehkan rakyat Sarawak menentukan hala tuju sendiri dalam kerangka Malaysia.
Katanya lagi, peranan GPS melangkaui soal autonomi politik dan turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak, serta memupuk perpaduan dan persefahaman dalam kalangan komuniti yang pelbagai.
“Rakyat perlu memanfaatkan perpaduan dan kekuatan ini untuk memberikan sokongan padu kepada GPS dalam perbincangan di peringkat nasional.
“Perpaduan dan sokongan ini juga akan memastikan kedudukan Sarawak diwakili dengan kuat di peringkat kebangsaan, terutamanya dalam menangani dasar dan isu yang memberi kesan langsung kepada masa depan negeri ini.
“Melalui perpaduan dan kepimpinan tempatan ini, Sarawak akan terus berkembang maju dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Malaysia secara keseluruhan,” kata beliau.
Kaunselor Lau turut memberi perhatian terhadap apa yang sering ditekankan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam banyak ucapan beliau bahawa Sarawak yang lebih kuat akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan Malaysia.
“Oleh itu, adalah penting bagi semua rakyat Sarawak memahami perkara ini dan bersatu hati untuk memastikan keperluan serta aspirasi unik Sarawak diberi perhatian dalam agenda nasional,” katanya lagi.
Oleh Akun Giman