KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) telah menganugerahkan kontrak pembekalan bas berkuasa hidrogen kepada syarikat usaha sama terdiri daripada SKS Coachbuilders Sdn Bhd dan Sun Credit Sdn Bhd.
Di bawah kontrak ini, syarikat usaha sama itu diamanahkan untuk melaksanakan kerja-kerja mereka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembuatan, pembekalan, pemasangan, penghantaran, pengujian, pentauliahan dan penyerahan 55 bas penyuap sel bahan api hidrogen dek tunggal.
Kontrak bernilai RM122,441,222 itu termasuk opsyen, akan dilaksanakan dalam tempoh 43 bulan.
Bas berkuasa hidrogen itu akan menyokong rangkaian sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di bawah projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), dalam menyediakan sambungan pertama dan terakhir.
Sebanyak enam penyerahan tender telah diterima pada penutupan tender pada 26 Julai 2024.
Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ts. Mazli Mustaffa menandatangani bagi pihak Sarawak Metro.
Syarikat usaha sama tersebut diwakili oleh Muhamad Zaidi Toha, Pengarah SKS Coachbuilders Sdn Bhd dan Sempurai Petrus Ngelai, Pengerusi Sun Credit Sdn Bhd bersama Dato’ Roy Soo Kum Kin, Ketua Pegawai Eksekutif SKS Coachbuilders Sdn Bhd dan Timothy Lim Teng, Pengarah Sun Credit Sdn Bhd masing-masing sebagai saksi.
“Penganugerahan kontrak ini merupakan satu langkah penting ke arah membina rangkaian pengangkutan awam yang lebih dipercayai, mudah dan mesra alam di Kuching,” kata Ts. Mazli.
“Kepada syarikat JV, marilah kita bekerjasama ke arah matlamat ini untuk penambahbaikan sistem pengangkutan awam Sarawak,” tambah Mazli.
Sarawak Metro, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), ditugaskan dengan pelaksanaan, operasi dan penyelenggaraan projek KUTS, yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan Sarawak.