SEMATAN, 13 Oktober: Pengurusan sumber perikanan secara mampan menjadi fokus utama Program Pengurusan Perikanan Berasaskan Ekosistem (EAFM) bersama komuniti nelayan yang berlangsung di Palm Beach Resort, Sematan, hari ini.
Menurut kenyataan media Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Pendekatan Ekosistem Bagi Pengurusan Perikanan (EAFM) menekankan keseimbangan antara pemuliharaan ekosistem marin, kelestarian sumber perikanan dan kesejahteraan komuniti nelayan.
Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran, berkongsi maklumat serta memperkukuh kerjasama antara agensi berkaitan dan komuniti nelayan bagi memastikan sumber perikanan diurus secara bertanggungjawab.
Penglibatan komuniti nelayan dilihat penting dalam memastikan usaha pemuliharaan habitat marin dapat dilaksanakan secara berkesan, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan.
Program berkenaan turut melibatkan beberapa agensi jemputan, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM), Perhutanan Sarawak (SFC) dan Jabatan Laut.
Antara pengisian utama ialah taklimat konservasi marin oleh SFC, penerangan mengenai sistem e-Minyak oleh LKIM serta perkongsian berkaitan Sijil Perakuan Kecekapan (CoC) oleh Jabatan Laut.
Peserta turut diberikan penerangan mengenai cadangan pindaan Peraturan-Peraturan Pelesenan Vesel Perikanan 1985 yang disampaikan oleh Halimi Abu Hanip dari Bahagian SPT, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), bersama Jackson Clive Jusak, Ketua Wilayah Perikanan I, Santubong, Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
Perkongsian tersebut memberi ruang kepada komuniti nelayan untuk memahami aspek pengurusan, pelesenan dan pematuhan peraturan yang berkaitan dengan aktiviti perikanan.
Pendekatan EAFM turut menggalakkan penglibatan aktif nelayan sebagai rakan strategik dalam memelihara ekosistem marin, di samping memastikan aktiviti penangkapan ikan dilaksanakan secara lebih bertanggungjawab.
Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti nelayan juga penting bagi memastikan langkah pemuliharaan dapat dilaksanakan secara bersepadu serta memberi manfaat kepada semua pihak.
Usaha itu bukan sahaja bertujuan melindungi habitat marin dan mengekalkan sumber perikanan, malah membantu menjaga kelangsungan mata pencarian komuniti nelayan untuk jangka panjang.
Melalui pelaksanaan EAFM, pengurusan perikanan yang seimbang antara kepentingan alam sekitar dan ekonomi diharap dapat terus diperkukuh demi menjamin kelestarian sumber marin untuk generasi akan datang.
Oleh Adi Safarman



