Sarawak Metro, Pusat Sains Sarawak perkukuh pembangunan bakat STEM

Facebook
WhatsApp
PUSAT Sains Sarawak. Foto laman web SSCiEX

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd dan Pusat Sains Sarawak menjalinkan kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan bakat, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menurut kenyataan Sarawak Metro, kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif menerusi Program Pembangunan Peningkatan Sosioekonomi (SEED) Sarawak Metro, termasuk pendidikan STEM, program pendidikan mobiliti masa depan, kempen kesedaran awam dan kelestarian serta pendedahan industri kepada generasi muda.

Pertukaran dokumen MoU itu disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis pelancaran rasmi Pusat Sains Sarawak yang berlangsung baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa berkata, kerjasama itu merupakan platform penting untuk memberi inspirasi dan memupuk generasi bakat baharu dalam bidang sains dan teknologi.

Menurutnya, Sarawak Metro amat menitikberatkan pembangunan bakat, terutama dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong operasi sistem Transit Aliran Pesat Autonomi (ART) berkuasa hidrogen pada masa hadapan.

“Kami berbesar hati menjadi antara organisasi yang mengambil langkah bermakna dalam memperkukuh kerjasama bagi memupuk bakat dalam bidang sains dan teknologi, terutama kerana Sarawak Metro memberi penekanan besar terhadap pembangunan bakat,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu selari dengan aspirasi Pusat Sains Sarawak serta visi kerajaan Sarawak untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan dipacu inovasi.

Sarawak Metro memperkenalkan Program SEED pada 2020 sebagai usaha memberi nilai tambah kepada projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Program berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja masa depan bagi industri pengangkutan awam, selain meningkatkan keupayaan bakat tempatan menerusi latihan berstruktur, pendidikan dan pendedahan kepada industri.

Melalui program itu, Sarawak Metro turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan dalam pembangunan modul latihan, selain memberi tumpuan kepada usaha penyetempatan dengan mewujudkan peluang perniagaan melalui pembangunan rantaian bekalan tempatan bagi projek KUTS.

Sarawak Metro merupakan syarikat milik kerajaan Sarawak yang dipertanggungjawabkan untuk memodenkan pengangkutan awam menerusi projek KUTS.

Fasa pertama KUTS merangkumi tiga laluan iaitu Laluan Biru dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar, Laluan Merah dari Kuching Sentral ke Pending dan Laluan Hijau dari Pending ke Damai.

Tunjang projek itu ialah penggunaan kenderaan ART tanpa pelepasan berkuasa hidrogen, yang akan beroperasi di laluan khas serta disokong rangkaian bas pengantara berkuasa hidrogen bagi menyediakan hubungan perjalanan awal dan akhir kepada pengguna.

Sarawak Metro diwakili Pengarah Undang-Undang dan Setiausaha Syarikatnya, Bibi Waheeda Arman Khan, manakala Pusat Sains Sarawak diwakili Pengarah Urusannya, Dr. Peter Morin Nissom.