SIMANGGANG, 15 November: Majlis Khatam al-Quran dan Majlis Apresiasi Pendidikan Islam Peringkat Bahagian Sri Aman 2026 berlangsung meriah di Dewan Suarah Sri Aman, semalam, dengan menghimpunkan warga pendidikan, murid, ibu bapa serta komuniti setempat.
Penganjuran majlis itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan budaya membaca dan menghayati al-Quran dalam kalangan murid, malah menjadi platform mengiktiraf sumbangan serta pencapaian guru, murid dan sekolah dalam bidang Pendidikan Islam.
Antara pengisian utama majlis ialah acara khatam al-Quran yang melibatkan murid dari sekolah sekitar Bahagian Sri Aman sebagai simbol kejayaan mereka menyempurnakan bacaan kitab suci itu.
Acara berkenaan diharap dapat menyemai kecintaan terhadap al-Quran serta menggalakkan murid menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam pembentukan sahsiah dan penerapan nilai murni.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Guru Bitara Pendidikan Islam kepada Ustaz Lokman Hakim Mohamad dari Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman bagi kategori lelaki, manakala kategori perempuan dimenangi Ustazah Dayangku Nurul Husna Awang Suhaimi dari SK Abang Aing.
Bagi Anugerah Bintang Gemilang Pendidikan Islam, kategori murid lelaki dimenangi Syed Alawi Al-Ghayur Syed Zaimi dari SK Agama MIS Sri Aman, manakala kategori murid perempuan diterima Nur Aliyah Maisarah binti Mohammad Faizal dari SK Sri Aman.
Selain itu, dua sekolah dari Bahagian Sri Aman turut menerima pengiktirafan menerusi Penarafan Imarah Surau Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) Peringkat Negeri Sarawak 2026.
Surau Al-Iltizam, SK Agama MIS Sri Aman memperoleh tempat kelima bagi kategori surau, manakala Musala Al-Firdaus, SK Kem Pakit turut menduduki tempat kelima bagi kategori musala.
Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan pihak sekolah dalam mengimarahkan surau dan musala sebagai pusat pembangunan rohani, pembentukan sahsiah serta pengukuhan amalan keagamaan dalam kalangan warga sekolah.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah, Unit Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Ustaz Ahmad Azra Sa’di serta Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Ustaz Syaifullah Ismail.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman, Mohd Azri Bunyok; Guru Besar SK Sri Aman, Mohamad Fuad Augustin Abdullah serta Pegawai Hal Ehwal Islam merangkap Imam Bahagian Sri Aman, Ustaz Abang Azman Abang Muhammad.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pengetua, guru besar, wakil sekolah, wakil agensi seperti Tabung Baitulmal Sarawak, Tabung Haji dan Bank Rakyat, ibu bapa, Kumpulan Tahtim Suara Gabungan Sri Aman serta guru dan peserta khatam al-Quran.
Penganjuran program itu diharap dapat menjadi suntikan motivasi kepada warga pendidikan untuk terus meningkatkan kecemerlangan Pendidikan Islam, selain memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, ibu bapa dan komuniti setempat.
Secara keseluruhannya, majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman menerusi Unit Pendidikan Islam dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kekuatan rohani, keperibadian mulia serta menjadikan nilai-nilai al-Quran sebagai pegangan hidup.
Oleh Adi Safarman




