SIBURAN, 19 November: Penubuhan cawangan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Teng Bukap bakal memperluas akses latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada golongan belia serta penduduk dewasa di sekitar Tarat, Tebedu, Mambong dan Simuja.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi menyediakan peluang kepada masyarakat setempat meningkatkan kemahiran dan kompetensi masing-masing.
Katanya, lokasi Teng Bukap dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta mempunyai akses jalan raya yang memudahkan penduduk dari kawasan berdekatan mengikuti latihan yang ditawarkan.
Beliau berkata, antara kursus yang dirancang termasuk latihan berkaitan bidang elektrikal dan penggunaan mesin moden, sejajar dengan keperluan meningkatkan kemahiran teknikal dalam kalangan tenaga kerja tempatan.
Selain latihan TVET, CENTEXS Teng Bukap turut memberi perhatian kepada industri keringkam yang selama ini dikaitkan dengan Kampung Belimbing, kawasan berhampiran.
Menurutnya, kemudahan itu kelak menyediakan ruang lebih selesa untuk penggiat industri keringkam menjalankan kursus, selain mengadakan pameran bagi memperkenalkan hasil seni dan kraf mereka.
Mengulas perkembangan projek, Roland berkata permohonan pembangunan berkenaan sudah mendapat kelulusan Unit Perancang Negeri (SPU) pada Oktober lalu dan kini hanya menunggu kelulusan pelan bangunan sebelum kerja pelaksanaan dapat dimulakan.
Katanya, tanah yang dikenal pasti bagi projek itu merupakan tanah kerajaan dan pihak pentadbiran telah menyatakan tiada halangan terhadap cadangan pembangunannya.
“Sekarang hanya menunggu kelulusan bangunan. Jika proses kelulusan oleh jawatankuasa pembangunan berjalan cepat, pelaksanaannya juga dapat dipercepatkan.
“Mudah-mudahan, projek ini dapat dimulakan tahun depan. Bahagian teknikal projek ini akan diuruskan oleh JKR dan mereka sudah bersedia untuk melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Gayu, di sini, hari ini.
Untuk rekod, CENTEXS kini mempunyai enam kampus utama di Sarawak, iaitu di Kuching, Lundu, Betong, Mukah, Dalat dan Lawas.
Cadangan pembangunan CENTEXS Teng Bukap bakal memperluas lagi rangkaian kemudahan latihan kemahiran berkenaan, khususnya bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan Serian dan sekitarnya.
Oleh Afiq Sallehi




