KUCHING: Peluang dibuka kepada Anak Sarawak berumur 18 tahun ke atas untuk mengetengahkan kreativiti dengan menyertai pertandingan mencipta logo dan slogan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Ciptaan logo dan slogan terbaik akan diguna sebagai identiti rasmi sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka sekali gus menjadi hak milik Kerajaan Sarawak.
UKAS dalam satu kenyataan berkata, pertandingan bermula hari ini hingga 19 Februari pada masa sama, semua logo dan slogan yang diterima juga akan menjadi hak milik UKAS dan tidak akan dikembalikan.
Pemenang pertama akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan sijil penyertaan.
Pemenang kedua bakal membawa pulang RM4,000 beserta sijil penyertaan manakala pemenang ketiga akan menerima wang tunai RM3,000 beserta sijil penyertaan.
Hadiah saguhati berjumlah RM1,000 dan sijil penyertaan juga disediakan kepada lima pemenang.
Peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan ke emel sethap.ukas@gmail.com dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi pegawai UKAS di talian 011-19187379 atau 012-5998901.
oleh NUR AIN OTSMAN