BINTULU, 9 November: Kejayaan atlet wushu Sarawak mencatat pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa perlu dijadikan pemangkin untuk memperkukuh pembangunan sukan itu, khususnya dalam kalangan generasi muda di negeri ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pencapaian atlet Sarawak dalam Kejohanan Wushu Remaja Dunia membuktikan bahawa anak muda negeri ini mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa sekiranya diberikan latihan dan peluang sewajarnya.
Menurutnya, kejayaan berkenaan bukan sesuatu yang dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil latihan berterusan serta pengorbanan atlet, selain sokongan jurulatih, guru dan ibu bapa.
“Ini membuktikan atlet muda Sarawak mempunyai kemampuan untuk berdiri sama tinggi di pentas antarabangsa serta mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia.
“Di sebalik setiap pingat yang dimenangi, terdapat usaha dan latihan keras atlet serta sokongan daripada mereka yang membimbing dan memberikan dorongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kejohanan Wushu Bahagian Bintulu dan Kejohanan Jemputan Wushu Jun Wei 2026 di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.
Justeru, Johnny Pang berharap lebih banyak usaha dilakukan bagi mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan kanak-kanak serta golongan muda bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan wushu di Sarawak.
Beliau berkata, sokongan berterusan daripada semua pihak penting bagi menyediakan ruang kepada atlet muda untuk meningkatkan kemahiran, pengalaman dan tahap persaingan masing-masing.
Ujarnya, pembangunan sukan itu perlu bermula dari peringkat akar umbi bagi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang mampu mewakili negeri dan negara dalam kejohanan lebih besar.
Oleh Carolyne Utih





