25 tahun menyemai nilai murni, Che Sea Khor terus terima sokongan 

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii memotong kek ulang tahun ke-25 bersama warga Persatuan Peninggian Akhlak Che Sea Khor. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

SARIKEI, 9 November: Usaha Persatuan Peninggian Akhlak Che Sea Khor dalam menyemai nilai kasih sayang, memperkukuh keharmonian masyarakat dan melaksanakan kegiatan kebajikan sepanjang 25 tahun penubuhannya terus mendapat pengiktirafan menerusi sokongan berterusan kerajaan Sarawak.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, komitmen persatuan itu dalam memupuk nilai murni dan semangat saling membantu merupakan sumbangan penting kepada kesejahteraan komuniti setempat.

Katanya, kerajaan Sarawak turut memberikan sokongan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM363,000 sepanjang 2020 hingga 2026, selain peruntukan baharu RM35,000 yang diumumkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 persatuan tersebut.

“Kerajaan Sarawak berharap semua masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

“Keharmonian antara kaum dan agama merupakan asas penting kepada perpaduan serta kestabilan masyarakat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Persatuan Peninggian Akhlak Che Sea Khor, Sarikei, baru-baru ini.

Tambahnya, pentadbiran Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa mengambil berat keperluan pertubuhan masyarakat, termasuk usaha menaik taraf kemudahan untuk kegunaan ahli dan pengunjung.

Dalam pada itu, Huang turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan ahli persatuan atas sokongan serta kerjasama yang diberikan sepanjang hampir 11 tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Beliau berharap Persatuan Peninggian Akhlak Che Sea Khor terus memainkan peranan dalam menggalakkan amalan kebajikan, menyemai nilai kemanusiaan dan memperkukuh hubungan masyarakat berbilang kaum serta agama.

Oleh Earl Anek