PETRA JAYA, 9 November: Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak digesa memperkukuh sumbangan kepakaran profesional dalam membantu kerajaan menangani cabaran kejuruteraan serta menyokong agenda pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penglibatan golongan jurutera amat diperlukan ketika Sarawak memasuki fasa baharu pembangunan ekonomi dan teknologi yang menuntut pengetahuan, kemahiran serta keupayaan lebih tinggi.
Menurutnya, IEM Cawangan Sarawak dalam pertemuan terbaharu telah menyatakan kesediaan untuk menawarkan kepakaran profesional dan membantu kerajaan menangani cabaran berkaitan kejuruteraan.

Sehubungan itu, beliau berharap institusi berkenaan dapat terus memainkan peranan dalam menyediakan nasihat teknikal, mengemukakan idea inovatif serta menawarkan penyelesaian praktikal bagi menyokong keperluan pembangunan negeri.
“Jurutera mesti bersedia dan membuat persiapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan IEM Cawangan Sarawak 2026 bertemakan ‘Engineering Beyond Boundaries’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran buku meja kopi IEM Cawangan Sarawak serta pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat (LOI) antara IEM Cawangan Sarawak dengan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak.

Abang Johari berkata, pembangunan Sarawak memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan golongan profesional bagi memastikan kepakaran teknikal dapat dimanfaatkan dalam perancangan serta pelaksanaan projek.
Beliau turut menggalakkan hubungan lebih rapat antara IEM Cawangan Sarawak dengan agensi kerajaan supaya kepakaran profesional dapat menyumbang kepada penambahbaikan perancangan, dasar dan pelaksanaan projek.
“Tugas saya adalah mencari dana,” katanya sambil menjelaskan peningkatan hasil negeri membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada pembangunan.
Sementara itu, Pengerusi IEM Cawangan Sarawak, Datu Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin berkata, pembangunan kompetensi profesional kekal sebagai antara tanggungjawab utama institusi itu dalam memperkukuh keupayaan golongan jurutera.

Beliau berkata, sebanyak 47 program pembangunan profesional dianjurkan sepanjang 2025, melibatkan lebih 2,500 peserta serta menyediakan 350 jam pembangunan profesional berterusan (CPD).
Menurutnya, IEM Cawangan Sarawak turut memperluas latihan teknikal dan menggalakkan penerapan teknologi baharu, termasuk Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), kejuruteraan digital dan amalan kejuruteraan mampan.
“Penganjuran Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) 2026 di Kuching yang menghimpunkan lebih 800 delegasi dari 25 negara merupakan antara pencapaian penting dalam memperluas jaringan profesional kejuruteraan Sarawak di peringkat antarabangsa,” katanya.
Angelia berkata, usaha memperkukuh kompetensi profesional dan membangunkan generasi jurutera baharu penting bagi memastikan profesion itu terus menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Oleh Adele Rissa





