Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Samalaju SME Cluster perkukuh peranan PMKS dalam ekosistem industri Sarawak
  • TEMPATAN

Samalaju SME Cluster perkukuh peranan PMKS dalam ekosistem industri Sarawak

Utusan Sarawak 22 hours ago
PENYAMPAIAN cek replika bantuan keusahawanan kepada penerima program GERAK, USTEV, GO-DIGITAL, SPIKS dan SKMS pada Majlis Pelancaran Samalaju SME Cluster yang berlangsung di Samalaju SME Cluster, Jalan Similajau, Bintulu, hari ini.

BINTULU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pelancaran Samalaju SME Cluster, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi inklusif serta meningkatkan penyertaan usahawan tempatan dalam rantaian nilai industri.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Samalaju SME Cluster, Jalan Similajau, di sini, hari ini disempurnakan Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dalam ucapannya, beliau berkata pelancaran projek itu mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh ekosistem perindustrian dan pelaburan, selain memperluaskan penyertaan PMKS dalam rantaian nilai industri bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, berdaya saing dan inklusif.

SIMBOLIK pelancaran Samalaju SME Cluster disempurnakan oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Pelancaran Samalaju SME Cluster, hari ini.

Beliau berkata, Samalaju Industrial Park (SIP) kini diiktiraf sebagai antara hab industri berat bertaraf antarabangsa yang paling signifikan di Malaysia dan rantau ASEAN, hasil kelebihan tenaga boleh diperbaharui, lokasi strategik serta ekosistem industri yang semakin matang. Sehingga kini, kawasan itu berjaya menarik pelaburan melebihi RM60 bilion, mewujudkan lebih 9,100 peluang pekerjaan, menjana sekitar RM700 juta pembayaran gaji, menyumbang lebih RM6.2 bilion kepada ekonomi negeri serta menghasilkan nilai eksport sekitar RM16.5 bilion.

Menurut Awang Tengah, kejayaan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan Sarawak yang mesra pelaburan dan perniagaan, selain disokong oleh kestabilan politik, tadbir urus yang cekap serta penyediaan infrastruktur yang kondusif.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan manfaat pembangunan industri turut dinikmati oleh PMKS tempatan, yang merupakan tunjang utama ekonomi Sarawak dengan lebih 71,000 perusahaan berdaftar.

“Pertumbuhan industri bukan sahaja perlu diukur melalui nilai pelaburan, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat dan usahawan tempatan,” katanya.

Beliau menjelaskan, Samalaju SME Cluster dibangunkan bagi melengkapkan ekosistem industri sedia ada dengan menyediakan ruang kepada lebih ramai usahawan PMKS menawarkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah kepada syarikat multinasional yang beroperasi di Samalaju.

Katanya, pembangunan itu melibatkan 10 fasa di kawasan seluas 96.72 hektar dengan anggaran kos keseluruhan RM223 juta.

“Bagi peringkat awal, Fasa 1 dan Fasa 2 telah siap dibangunkan dengan kos RM25.8 juta, melibatkan kawasan seluas 21.53 hektar serta penyediaan 21 lot industri,” katanya.

Tambah beliau, Samalaju SME Cluster bukan sekadar menyediakan lot industri, malah membangunkan sebuah ekosistem perniagaan moden yang membolehkan PMKS memperoleh pendedahan kepada teknologi baharu, amalan terbaik industri, piawaian antarabangsa dan pensijilan global menerusi kerjasama dengan syarikat multinasional.

Bagi memastikan peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya, MINTRED akan melaksanakan program Samalaju Collaborative and Operational Readiness Engine for MSMEs (SCORE-MSME) yang memberi tumpuan kepada analisis jurang dan padanan keperluan, pembangunan vendor, bimbingan strategik, peningkatan kemahiran dan pendigitalan serta akses kepada pembiayaan dan sokongan kewangan.

Awang Tengah berkata, pendekatan menyeluruh itu diyakini mampu membantu PMKS tempatan berkembang daripada pembekal domestik kepada pemain yang lebih kompetitif dalam rantaian nilai serantau dan global, sekali gus memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk memberi manfaat langsung kepada ekonomi tempatan.

Beliau menggesa pelabur tempatan dan antarabangsa agar terus bekerjasama dengan PMKS Sarawak melalui pembangunan vendor, pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran serta peningkatan kemahiran bagi membina ekosistem industri yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Samalaju SME Cluster akan menjadi model pembangunan kluster PMKS yang boleh diperluaskan ke kawasan-kawasan perindustrian lain di seluruh Sarawak, sekali gus memperkukuh daya saing industri tempatan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.

Oleh Faizah Muzidi

Continue Reading

Previous: Teratak Kasih Tok Nan perkukuh sokongan komuniti HIV di Sarawak
Next: Jalan baharu Gedong-Ulu Simunjan dijangka siap dalam tempoh dua tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.