Pendapatan Sarawak dijangka terus meningkat menjelang 2028, 2029 – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat malam ini.

KUCHING, 20 November: Pendapatan Sarawak yang dijangka terus meningkat menjelang 2028 dan 2029 akan menjadi pemangkin kepada kesinambungan pembangunan negeri, termasuk memperkukuh infrastruktur, menarik pelaburan berteknologi tinggi dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keyakinan itu bersandarkan usaha kerajaan membangunkan ekonomi negeri melalui perancangan jangka panjang, selain memastikan rakyat terus bersatu dan mempunyai visi yang jelas untuk masa depan.

Beliau berkata, kemajuan ekonomi yang dicapai bukan semata-mata untuk dinikmati generasi hari ini, sebaliknya menjadi asas kepada kehidupan lebih baik untuk anak cucu Sarawak, khususnya melalui pendidikan dan peluang pekerjaan berkualiti.

“Apa yang kita buat hari ini adalah untuk anak cucu kita. Apabila mereka mendapat pendidikan dan mampu bekerja dengan gaji besar, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan kemiskinan.

“Kerana kemiskinan hanya dapat diubah melalui ilmu yang mampu mengubah nasib sesebuah keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, pembangunan jambatan merupakan sebahagian daripada strategi memperluas kegiatan ekonomi kerana kemudahan perhubungan membolehkan penduduk bergerak lebih mudah, selain meningkatkan akses kepada pasaran dan peluang perdagangan.

Menurutnya, jaringan jambatan dan jalan raya yang dibangunkan kerajaan akan menghubungkan kawasan pesisir seperti Samarahan, Sebuyau, Lingga, Betong, Sarikei, Daro dan Mukah yang sebelum ini dipisahkan oleh sungai.

Beliau memberi contoh pengusaha hasil pertanian di Pulau Bruit yang berpeluang meningkatkan harga jualan daripada sekitar RM65 kepada RM95 sekilogram susulan kemudahan perhubungan yang lebih baik, sekali gus membolehkan lebih ramai pembeli memasuki kawasan berkenaan.

Dalam masa sama, beliau berkata Sarawak sedang memperluas tumpuan kepada industri berteknologi tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor menerusi usaha menarik pelaburan ke Tanjung Embang.

Katanya, pelabur dari Jepun menunjukkan minat terhadap potensi Sarawak dengan pelaburan awal sebanyak AS$1 bilion (kira-kira RM4 bilion), yang berpotensi berkembang sehingga AS$50 bilion.

Beliau menjelaskan, selain bekalan tenaga dan air, dasar pendidikan percuma di peringkat universiti turut menjadi antara faktor yang menarik minat pelabur kerana industri berkenaan memerlukan tenaga kerja mahir, termasuk saintis, pakar fizik, kimia dan kejuruteraan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan supaya anak Sarawak sendiri dapat mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan melalui pelaburan baharu.

Menyentuh Jambatan Sejingkat, Abang Johari berkata, kemudahan itu menghubungkan Sejingkat di Kuching dengan Tanjung Bako di Samarahan, sekali gus memudahkan perjalanan ke institusi penting seperti Hospital Jantung Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau turut menegaskan bahawa semua jambatan yang dibangunkan kerajaan Sarawak tidak mengenakan tol bagi memastikan kemudahan itu dapat dinikmati rakyat tanpa kos tambahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata kerajaan meneruskan pembangunan 22 jambatan utama di seluruh Sarawak, dengan 15 daripadanya telah siap dan baki 17 lagi masih dalam perancangan serta pelaksanaan seperti yang dimaklumkan beliau.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mengetuai pelaksanaan projek jambatan, selain Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan semua pihak yang terlibat.

Menurutnya, pembangunan rangkaian jambatan itu merupakan pelaburan jangka panjang untuk menghubungkan masyarakat, merancakkan ekonomi dan memastikan kemakmuran Sarawak dapat diwarisi generasi akan datang.

Oleh Afiq Sallehi