SIBU, 20 November: Kemuyang bakal dibangunkan sebagai bandar satelit baharu di Sibu dalam usaha memperluaskan pembangunan bandar serta menyediakan kemudahan infrastruktur dan kawasan perumahan yang lebih terancang kepada penduduk.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu merupakan sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk memperluaskan kawasan bandar Sibu sejajar dengan pertambahan penduduk dan keperluan pembangunan masa depan.
Menurutnya, pembangunan bandar satelit merupakan pendekatan penting bagi memastikan pertumbuhan Sibu tidak hanya tertumpu di pusat bandar sedia ada.
“Kita mesti membangunkan Sibu dengan struktur baharu yang dapat menyediakan kemudahan kepada masyarakat.
“Dalam perancangan bandar, kita perlu mempunyai bandar satelit di pinggir bandar utama seperti yang telah dilaksanakan di Sibu Jaya. Hari ini, kita merancang satu lagi bandar satelit baharu di Sibu, iaitu Kemuyang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baharu Kemuyang, Masjid Al-Hidayah, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kerajaan turut merancang pembangunan infrastruktur jalan raya termasuk laluan berkembar (dual carriageway) yang akan menghubungkan Kemuyang dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Katanya, jaringan jalan raya itu akan meningkatkan kesalinghubungan antara Kemuyang dengan pusat bandar serta kawasan penempatan berhampiran.
“Dengan pembangunan jalan raya ini, Kemuyang tidak jauh dari pusat bandar Sibu dan perjalanan ke Kampung Nangka dijangka mengambil masa kurang 20 minit,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan Kemuyang juga akan membuka ruang kepada peluasan kawasan perumahan serta menghubungkan penempatan sedia ada termasuk Kampung Asan, Kampung Nangka dan Kampung Nyabor.
Abang Johari berkata, pembinaan Masjid Kemuyang mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan keagamaan seiring pembangunan kawasan penempatan baharu.
Menurutnya, pendekatan membina masjid sebagai antara kemudahan awal di kawasan pembangunan baharu adalah selaras dengan sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah.
“Di Kemuyang, kita membangunkan masjid terlebih dahulu dan kemudian kawasan perumahan di sekitarnya.
“Mudah-mudahan dengan pendekatan ini, masyarakat Islam dapat hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada masyarakat Islam di Kemuyang kerana kini mempunyai sebuah masjid yang indah dan tersergam sebagai pusat ibadah serta aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, kerajaan sebelum ini turut menaik taraf Masjid An-Nur di pusat bandar Sibu serta memperbesar Masjid Sibu Jaya bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat.
Sementara itu, Abang Johari turut menyentuh perancangan pembangunan semula Kampung Datu yang akan dihubungkan dengan kawasan Kemuyang menerusi jaringan jalan raya baharu.
Beliau berharap pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dalam suasana politik yang stabil demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Sarawak.
Oleh Akun Giman




