Kesejahteraan petugas kesihatan penting untuk tingkat mutu penjagaan pesakit

Facebook
WhatsApp
DATO Wee Hong Seng menyampaikan teks ucapan Dr Sim Kui Hian pada Program VIHASA 2026 untuk jururawat HUS di CSSC, Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING, 21 November: Kesejahteraan petugas kesihatan perlu diberi perhatian kerana aspek itu turut mempengaruhi keupayaan mereka dalam memberikan penjagaan berkualiti kepada pesakit.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, petugas kesihatan yang komited memberikan penjagaan kepada pesakit setiap hari juga memerlukan ruang untuk menjaga kesejahteraan diri, terutama ketika berdepan tekanan dan tuntutan tugas yang tinggi.

Katanya, bidang perubatan bukan sahaja bergantung pada protokol klinikal dan teknologi, malah turut memerlukan pendekatan yang menitikberatkan aspek kemanusiaan, kekuatan dalaman dan sifat belas ihsan.

“Apabila kita meletakkan anda sebagai penjaga di tengah-tengah amalan penjagaan diri dan kekuatan dalaman, mutu penjagaan pesakit secara semula jadi akan bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng pada Program Nilai dalam Penjagaan Kesihatan: Pendekatan Kerohanian (VIHASA) 2026 untuk jururawat Hospital Umum Sarawak (HUS) di Pusat Sokongan Sosial Komuniti Kuching (CSSC), di sini, hari ini.

DATO Wee Hong Seng, mewakili Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sempena Program VIHASA 2026 di CSSC, Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pendekatan kerohanian yang diterapkan menerusi program itu bertujuan membantu petugas kesihatan membina ketenangan diri, mengekalkan pemikiran positif dan memupuk sifat belas ihsan dalam menangani tekanan serta keletihan melampau akibat tuntutan pekerjaan.

Beliau berharap 52 peserta yang mengikuti program berkenaan dapat memanfaatkan sesi tersebut untuk menghayati semula nilai diri, memperkukuh semangat kerja berpasukan serta menerapkan pengalaman positif yang diperoleh dalam tugas di wad dan jabatan masing-masing.

Katanya, ketenangan dalaman yang dibina itu juga diharap dapat memberikan kesan positif kepada rakan sekerja, pesakit dan masyarakat secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Dr Sim merakamkan penghargaan kepada Yayasan Brahma Kumaris atas penganjuran program berkenaan serta inisiatif mengadakan sesi meditasi selama satu jam pada setiap Khamis di Dewan Solat Pelbagai Agama HUS sejak 2025.

“Inisiatif itu bertujuan menyebarkan doa, harapan baik dan perasaan positif bukan sahaja kepada pesakit, doktor dan kakitangan hospital, malah kepada seluruh umat manusia,” ujarnya.

DATO Wee Hong Seng bersama penceramah jemputan dan peserta Program VIHASA 2026 di CSSC, Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

Program VIHASA 2026 merupakan penganjuran sulung di Kuching dengan sokongan Janki Foundation dari United Kingdom, Pusat Penyelidikan dan Hospital Global di Mount Abu, India serta Yayasan Brahma Kumaris Malaysia.

Program itu turut menampilkan tiga penceramah dari India, iaitu Kalpana, Rupa dan RishiRaj yang berkongsi pengalaman serta pendekatan penjagaan kesihatan secara holistik.

Dr Sim berharap usaha seumpama itu dapat membantu membentuk tenaga kerja kesihatan yang sihat, berdaya tahan dan mempunyai sifat belas ihsan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Oleh Adele Rissa