SHAH ALAM, 21 November: Lebih sedekad menyimpan impian untuk beraksi di pentas Gegar Vaganza (GV), penyanyi dan pengacara Farah Anuar akhirnya dapat merealisasikan hasrat itu pada musim ini, sekali gus membuka laluan untuknya kembali aktif dalam bidang nyanyian.
Bagi bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2) ini, peluang yang sudah sekian lama dinantikan itu adalah jalan pintas terbaik buatnya untuk kembali mewarnai persada seni selepas memperlahankan kerjaya nyanyian sebelum ini demi memberikan tumpuan kepada keluarga.
Tidak mahu mensia-siakan peluang yang bukan mudah diperoleh untuk menempatkan diri dalam barisan peserta GV, pelantun lagu Tangisan Dalam Kerinduan itu nekad memanfaatkan sepenuhnya pentas GV Fantasia (GVF) bagi merealisasikan perancangan kemunculan semulanya dalam dunia nyanyian.
“Saya memang dah lama ada perancangan untuk kembali aktif. Cuma menanti masa dan peluang yang sesuai, saya memang menantikan program seperti ini.
“Sejak musim kedua lagi saya sudah berangan-angan nak masuk GV, tetapi ketika itu tak ambil bekas pelajar Akademi Fantasia (AF), jadi kita berangan sajalah. Tidak sangkalah tiba-tiba angan itu menjadi kenyataan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Menemuinya selepas konsert minggu kedua GVF di sini baru-baru ini, Farah atau nama sebenarnya Farah Diana Anuar, 41, mengakui tidak dapat menahan sebak sebaik mengetahui terpilih sebagai seorang bintang GVF selain menjadi peserta kedua yang meraih undian tertinggi untuk mara ke program itu.
“Saya rindu sangat nak menyanyi, tak ada niat pun nak bersara. Sebelum ini saya banyak tawaran mengacara, orang tak tahu saya masih lagi menyanyi,” katanya yang sebelum ini juga terkenal dengan panggilan Farah Breep Breep.
Selain Farah , Akim Ahmad (AF7), Felix Agus (AF3) dan Ara Johari (AF2016) juga antara bekas pelajar AF yang lolos ke pentas GVF bersama-sama sembilan yang lain iaitu Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6), Shahir (AF8), Faizul (AF2013) dan Firman (AF2014).
Mengulas fasa kehidupan yang membuatkan dirinya menjauh seketika daripada dunia nyanyian, pemenang tempat keempat AF2 ini menjelaskan perubahan tersebut bermula selepas mendirikan rumah tangga dengan Johan Johari dan dikurniakan tiga cahaya mata yang disusukan badan sepenuhnya.
“Bila berkahwin, memang sudah bersedia untuk melangkah ke fasa berbeza. Anak pun tiga orang dan semuanya menyusu badan sepenuhnya, jadi memang mengambil masa.
“Alhamdulillah, sekarang anak bongsu sudah berusia enam tahun dan ada lebih ruang masa untuk diri sendiri. Selepas berbincang dengan suami, beliau memberi sokongan untuk saya menyanyi balik,” katanya yang kini menetap di Pulau Pinang.
Sebelum ini, Farah pernah menghasilkan dua album solo, iaitu Antara Dua (2005) dan Fantasia (2009), selain merangkul gelaran Artis Harapan Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-12 (AIM12) serta Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 2005.
Anak seni kelahiran Kuala Lumpur ini juga pernah mewarnai dunia lakonan menerusi drama bersiri Akademi (2005) arahan Rashid Sibir selain membuat penampilan khas bersama-sama dengan Zahid AF2 dalam filem Man Laksa arahan Mamat Khalid serta membawakan watak utama dalam telefilem Popular (2007).
Sementara itu, GVF yang menjadi pentas kemunculan semula Farah dalam bidang nyanyian dikendalikan oleh tiga pengacara popular iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad manakala barisan jurinya terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat. – Bernama




