Etap pegawai perubatan jalani SWE dibayar ikut kadar sebelum diwartakan sebagai pakar – KKM

Facebook
WhatsApp
KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 21 November: Pegawai perubatan yang sedang menjalani Pengalaman Kerja di Bawah Penyeliaan (SWE) atau pengalaman kerja di bawah penyeliaan hanya layak menerima Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) mengikut kadar pegawai perubatan selagi belum diwartakan sebagai pakar, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa pembayaran elaun berkenaan adalah berdasarkan kadar dan syarat kelayakan pegawai perubatan mengikut pekeliling perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa, meskipun mereka telah menamatkan latihan kepakaran.

Bagaimanapun, beliau berkata KKM menyediakan Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta (BIPPW) kepada pegawai yang memenuhi syarat kelayakan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka sepanjang tempoh SWE.

“Sepanjang tempoh SWE, pegawai melaksanakan tanggungjawab klinikal dan tugasan atas panggilan di bawah penyeliaan. Memandangkan pegawai masih belum diwartakan sebagai Pakar Perubatan, pembayaran ETAP adalah berdasarkan kadar dan syarat kelayakan Pegawai Perubatan mengikut pekeliling perkhidmatan yang berkuat kuasa,” katanya.

Penjelasan itu dibuat susulan isu pembayaran ETAP kepada pegawai perubatan yang menjalani SWE, yang dibangkitkan orang ramai.

Dr Mahathar berkata SWE ialah tempoh pengalaman kerja wajib di bawah penyeliaan pakar perubatan selepas seseorang pegawai menamatkan latihan kepakaran, sebelum didaftarkan sebagai pakar dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) di bawah Majlis Perubatan (MPM).

Beliau berkata keperluan itu selaras dengan pindaan Akta Perubatan 1971 menerusi Akta Perubatan (Pindaan) 2024, khususnya subperenggan 14B(1)(d)(i).

“Setelah berjaya melengkapkan SWE dan memenuhi semua keperluan pengiktirafan pakar yang ditetapkan, termasuk pendaftaran dalam NSR dan pewartaan sebagai Pakar Perubatan melalui Surat Warta Pakar, pegawai layak dipertimbangkan untuk menerima ETAP Pakar dan Bayaran Insentif Pakar (BIP), tertakluk pada Perintah Am serta peraturan dan syarat kelayakan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathar berkata KKM memberi jaminan bahawa sebarang penambahbaikan terhadap dasar dan kelayakan pembayaran elaun akan terus diteliti secara menyeluruh bersama agensi pusat berkaitan.

Beliau berkata penelitian itu akan mengambil kira aspek kebajikan pegawai, keperluan perkhidmatan awam serta pematuhan terhadap peraturan perkhidmatan dan tatakelola kewangan.

Katanya, KKM turut mengalu-alukan pandangan orang ramai, namun berharap sebarang isu berkaitan pelaksanaan disalurkan melalui saluran rasmi bagi mengelakkan kekeliruan mengenai tatacara perkhidmatan awam. – Bernama