MIRI: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) yang merupakan pertubuhan belia utama di Sarawak akan terus memainkan peranannya dalam memartabatkan usaha meningkatkan penglibatan serta pencapaian belia semasa dalam pelbagai bidang yang mereka minati serta diperlukan.
Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sepanjang sesi 2017-2020 banyak program yang dikendalikan oleh SABERKAS sama ada di peringkat negeri, cawangan atau unit bagi meraikan idea serta bakat belia SABERKAS.
Katanya, antaranya program Karnival Sukan SABERKAS (KASUS), Program Kawanku Sayang,Keluargaku Kenang,Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS Bernas, Larian SABERKAS,Sarawak Youth Talent,Kursus Kemahiran Belia,Kursus Pertanian dan program lain yang sentiasa mengutamakan kepentingan dan minat belia SABERKAS.
“Seiring dengan peredaran masa, SABERKAS juga perlu selari dengan kehendak belia semasa bagi memastikan SABERKAS terus kekal relevan kepada golongan muda,” katanya.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Timbalan Presiden dan Perhimpunan Agung Tritahunan SABERKAS Negeri Sarawak ke- 16 di sebuah hotel di sini ,semalam.
Mengenai perhimpunan tersebut, Karim berkata, ia merupakan antara sejarah terbesar yang pernah berlaku sepanjang penubuhan SABERKAS sejak 1973.
Katanya, seramai 177 perwakilan dari 59 SABERKAS Cawangan di seluruh negeri hadir pada mesyuarat kali ini.
“Perhimpunan kali ini adalah yang terbesar kerana melibatkan banyak cawangan, biasanya hanya 30 cawangan saja.
“Namun, memandangkan kita berdepan dengan pandemik Covid-19, penganjur juga memutuskan untuk membenarkan hanya tiga orang sahaja perwakilan daripada setiap cawangan,”
Majlis makan malam itu diadakan bertujuan untuk meraikan dan mengucapkan ‘Selamat Datang’ kepada semua delegasi perwakilan ke perhimpunan berkenaan yang merupakan acara besar dalam kalendar SABERKAS.
Turut hadir, Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Sebastian Ting, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau dan Setiausaha Agung SABERKAS, Safiee Ahmad.
Oleh Liong Chai Ling